Friday, December 3, 2010

Segera ganti titi kayu reput





FAKHURAZI Che Din (tengah) bersama Sulaiman Ibrahim (kiri) meninjau keadaan titi kayu usang di Kampung Dingin, Mahang, Kulim, baru-baru ini.


KULIM 2 Dis. - Pekebun yang mengusahakan Projek Pembangunan Pertanian kawasan Bukit Empang, Kampung Dingin, Mahang dekat sini merayu pihak berkuasa membina sebuah jambatan konkrit bagi menggantikan titi kayu yang kini tidak selamat digunakan lagi.
Menurut mereka, titi yang merentasi sebuah tali air di situ perlu diganti segera demi keselamatan dan membolehkan mereka berulang alik ke kebun setiap hari.
Seorang pekebun, Fakhurazi Che Din, 40, berkata, seramai 12 peserta yang terbabit dengan projek pertanian itu bergantung kepada titi terbabit untuk bercucuk tanam dan mengangkut hasil pertanian.
Bagaimanapun menurutnya, titi terbabit rosak dan struktur binaan reput akibat banjir yang melanda kawasan itu pada 22 September lalu.
"Kawasan Bukit Empang membabitkan projek pertanian seperti penanaman kelapa sawit, getah, limau madu dan ciku.
"Tanah berkenaan menjadi punca pendapatan utama penduduk," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Fakhurazi berkata, penduduk bimbang titi buluh itu boleh dihanyutkan air pada bila-bila masa sahaja kerana ia dibina secara gotong-royong tanpa asas yang kukuh.
"Tambahan pula sekarang ini musim hujan sedangkan banyak penduduk yang hendak pergi kebun dan mengutip hasil pertanian perlu melaluinya setiap hari," katanya lagi.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulim, Sulaiman Ibrahim yang melawat kawasan berkenaan berkata, pihaknya akan membantu penduduk di kawasan terbabit untuk mendapatkan jambatan konkrit dalam tempoh terdekat.
"Kita akan bawa perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan DUN Kulim dan juga mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pertanian daerah serta Pejabat Tanah dan Daerah Kulim bagi mengatasi masalah ini," katanya.

No comments:

Post a Comment