Friday, December 3, 2010

Siti Rohana cari bapa jadi wali nikah



KUALA KRAI - Seorang bakal pengantin perempuan dari Kampung Pemberian, di sini, meminta bantuan orang ramai bagi mengesan bapa kandungnya untuk menjadi wali pernikahannya pada 10 Disember ini.

Pengantin terbabit, Siti Rohana Samsuddin, 23, mencari bapanya, Samsuddin Omar, 52, bagi membolehkan pernikahannya dengan pilihan hati, Zaimi Abdul Malik, 36, pada tarikh itu dapat dilaksanakan.

Siti Rohana berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan bapanya yang berpisah dengan ibunya, Siti Habidah Jaafar, 50, sejak 1987 ialah sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Bapa saya berpisah dengan ibu ketika saya berusia enam tahun dan selepas itu, kami tidak tahu dia tinggal di mana sehinggalah saya berjumpa dengannya sebelum Aidilfitri lalu.

“Kami sekeluarga sudah berusaha mencarinya untuk menjadi wali pernikahan saya tetapi selepas pertemuan terakhir tempoh hari sehingga sekarang, dia masih tidak dapat dikesan,” katanya, di sini, semalam.

Sementara itu, Siti Rohana berharap gambar lama bapanya ketika berusia 30-an yang masih berada dalam simpanannya dapat membantu orang ramai mengesan bapanya itu.

Mereka yang mengenali Samsuddin atau mengetahui di mana lelaki itu berada, diminta supaya menghubungi Siti Rohana di talian 012-9811124.

No comments:

Post a Comment