Friday, December 3, 2010

Ular sawa telan anak kambing ditangkap



ANGGOTA JPAM memegang ular sawa batik yang berjaya ditangkap, di Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 2 Dis. - Seekor ular sawa sepanjang empat meter yang kekenyangan selepas menelan seekor anak kambing di Kampung Pancor, Pokok Sena di sini, berjaya ditangkap oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kota Setar hari ini.
Pemilik kambing itu yang terkejut apabila melihat seekor ular sawa berada di dalam kandang ternakannya bertindak menghubungi JPAM kira-kira pukul 9.10 pagi untuk menangkap reptilia itu.
Pegawai JPAM Kota Setar, Khairul Afzan Md.Yasin berkata, sebaik sahaja tiba di kandang kambing tersebut pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menangkap ular sawa itu yang tidak berupaya bergerak akibat kekenyangan.
"Ular sawa seberat kira-kira 120 kilogram itu ditangkap ketika berada di dalam kandang kambing itu. Ular tersebut tidak bertindak agresif kerana tidak mampu bergerak akibat kekenyangan selepas menelan seekor anak kambing," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, ular tersebut dipercayai menjadikan kawasan kampung itu sebagai habitatnya kerana terdapat banyak sumber makanan di kawasan itu.
Dalam satu kejadian berasingan di Kerpan, Air Hitam dekat sini semalam, seekor lagi ular sawa sepanjang empat meter berjaya ditangkap oleh anggota JPAM.
"Ular tersebut tersangkut pada jaring yang diletakkan di sawah padi dan bertindak agresif ketika anggota kami sampai di kawasan tersebut kira-kira pukul 8.30 malam.
"Pihak kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular tersebut dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku," ujarnya.
Tambah Khairul, kedua-dua ekor reptilia itu akan dihantar ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment