Friday, March 18, 2011

'Kami dianiaya'



Oleh Nurhasyima Hasim
nurhasyima@bharian.com.my
2011/03/18

LAILA menunjukkan paip getah yang disyaki sengaja dipotong  pihak tidak bertanggungjawab  di PPRT Solok Kampung Baru, Bukit Katil.
LAILA menunjukkan paip getah yang disyaki sengaja dipotong pihak tidak bertanggungjawab di PPRT Solok Kampung Baru, Bukit Katil.
Penghuni rumah PPRT Solok Kampung Baru syak paip getah sengaja dipotong punca bil tinggi 

BUKIT KATIL: Seorang penghuni rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Solok Kampung Baru dekat sini, terkejut apabila diminta menjelaskan bayaran bil air berserta tunggakan berjumlah RM850.03 oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Februari lalu.
Tukang cuci, Laila Tompang, 54, berkata jumlah itu disifatkan tidak masuk akal apabila beliau yang menghuni rumah itu bersama suami dan dua anaknya tidak pernah gagal menjelaskan bayaran bil air pada setiap bulan sebelum ini.
"Saya panik apabila mula menerima bil air dengan nilai tidak munasabah sebanyak kira-kira RM500 pada Januari lalu. Bulan berikutnya pula, SAMB menghantar notis peringatan terakhir yang meminta saya menjelaskan bayaran bil air berjumlah RM36.15 dengan tunggakan RM813.88. 

"Notis berkenaan bukan saja mengelirukan, malah tidak masuk akal kerana penggunaan air kami sekeluarga di rumah juga tidak mencecah sehingga nilai tertera pada bil. Biasanya ia dalam lingkungan RM20 hingga RM90 sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam. 

Laila berkata, beliau juga pernah meminta bantuan SAMB dan Pejabat Ketua Menteri bagi menyelesaikan masalah itu kerana khuatir bekalan air dipotong jika gagal menjelaskan bil itu. 

"Bagaimanapun, maklum balas daripada kedua-dua pihak itu belum diterima sehingga hari ini. Pernah juga saya menangis memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi membayar bil terbabit. 
"Dengan pendapatan RM500 sebulan dan duit hasil tanaman getah yang diterima suami setiap tiga bulan sekali, manalah mampu kami membayar tunggakan bil sebanyak itu," katanya. 

Laila berkata, beliau juga bimbang sekiranya peningkatan bil air berkenaan berpunca daripada kebocoran saluran paip getah yang disambungkan ke meter air yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya yang diduduki sejak beberapa tahun lalu. 

"Setiap dua minggu, paip getah ini akan bocor atau putus sama ada kerana dipotong atau dirosakkan individu tidak bertanggungjawab. 

"Saya pernah memohon kepada SAMB supaya memindahkan meter dan paip berkenaan lebih hampir dengan kawasan rumah bagi memudahkan saya memantaunya, namun bayaran yang diminta untuk kerja pemindahan itu terlalu tinggi, iaitu hingga mencecah RM500," katanya. 

Laila berkata, beliau berharap pihak berwajib dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya bagi memastikan bekalan air yang menjadi keperluan utamanya sekeluarga tidak terputus.
bharian

No comments:

Post a Comment