Friday, March 18, 2011

Peguam syarie mesti orang Islam



Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bharian.com.my
2011/03/18

 JAYASEELE     ketika di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
JAYASEELE ketika di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
Mahkamah tolak permohonan Jayaseele jalani amalan guaman 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak permohonan peguam wanita bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin untuk diterima menjadi peguam syarie dan menjalani amalan guaman di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Hakim Datuk Rohana Yusuf membuat keputusan itu selepas menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan Jayaseele bagi mengetepikan keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang enggan menerima kemasukannya sebagai peguam syarie.
Dalam penghakimannya, Rohana berkata, keperluan mensyaratkan seseorang yang diterima masuk menjadi peguam syarie mesti beragama Islam adalah perlu bagi memastikan keberkesanan perwakilan perundangan. 

Beliau berkata, Perintah 10 Peraturan Peguam Syarie 1993 dibuat mengikut kuasa perundangan MAIWP yang memberikannya kuasa untuk menerima kemasukan peguam syarie mengikut budi bicaranya, namun kuasa itu tertakluk kepada sub Seksyen 2 perintah sama. 

“Ini bermakna kemasukan peguam syarie adalah bersyarat mengikut peraturan yang dibuat MAIWP dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agung. Peraturan yang dibuat adalah berkenaan prosedur, kelayakan dan yuran kemasukan,” katanya. 

Pada 19 Mei tahun lalu, Jayaseele memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah bagi membatalkan keputusan MAIWP melalui Jawatankuasa Peguam Syarie yang menafikan permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie. 
Beliau yang memperoleh Diploma Undang-undang Syariah dan Amalan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004 juga memohon pengisytiharan bahawa Perintah 10 Peraturan Peguam Syarie 1993, memberikan mandat bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, bercanggah dengan Artikel 5, 8, dan 10 Perlembagaan Persekutuan. 

Ini adalah kes pertama seorang peguam bukan Islam diberikan kebenaran untuk mencabar keputusan MAIWP bahawa hanya peguam Islam dibenarkan menjadi pengamal guaman di Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur. 

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu keperluan utama untuk menjadi seorang peguam syarie ialah seseorang itu mestilah orang Islam. 

No comments:

Post a Comment