Tuesday, March 29, 2011

Penyewa pasar mahukan keadilan




SEBAHAGIAN peniaga Pasar Besar Arked MPKB mengadakan solat hajat di pasar tersebut di Kota Bharu semalam. Gambar kecil, beberapa peniaga berdoa selepas solat hajat.


KOTA BHARU - Hampir 300 peniaga Pasar Besar Arked MPKB mengadakan solat hajat sebagai ikhtiar bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut perpindahan mereka ke Bazar Tok Guru yang sehingga kini masih gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri Kelantan.
Solat hajat yang bermula pukul 8.45 pagi semalam yang diadakan di ruang bawah bangunan pasar tersebut turut dihadiri Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Ab. Salim Ahmad dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh.
Ab. Salim berkata, solat hajat itu merupakan salah satu ikhtiar yang dibuat oleh peniaga kecil di pasar berkenaan bagi menyelesaikan masalah yang dilihat masih belum menemui jalan penyelesaian itu.
"Solat hajat ini diadakan selepas kami ditimpa musibah serta dianiaya selain mengharapkan Allah buka pintu hati pemimpin terbabit untuk mengadakan perbincangan.
"Kami bukan keras kepala untuk tidak berpindah tetapi mahu dapatkan keadilan. Kami juga telah menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengadakan perbincangan tetapi tidak dapat jawapan," katanya ketika ditemui semalam.
Isu perpindahan 415 peniaga Pasar Lama MPKB dan Arked Lambak UDA menjadi kemelut berpanjangan apabila mereka mendakwa kerajaan Pas Kelantan tidak memenuhi janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum 2008 iaitu menyediakan ruang niaga yang selesa sebagaimana dipersetujui.
-kosmo

No comments:

Post a Comment