Sunday, April 3, 2011

Perbezaan pada leher

KUALA LUMPUR: Pakar Patologi Forensik dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand hadir di mahkamah di sini, semalam, bagi memberi keterangan pada prosiding Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock yang pertama kali bersidang pada hujung minggu.
Dalam keterangannya kepada suruhanjaya, Pornthip yang tampil dengan rambut berwarna-warni serta mengenakan baju T ketat tetap mempertahankan pandangannya sebelum ini bahawa setiausaha politik Exco Selangor itu tidak membunuh diri.

Selain itu, beliau berkata, wujud tekanan pada leher Teoh seperti dicekik sebelum beliau jatuh.

Pornthip kemudian menunjukkan perbezaan pada leher mangsa dengan leher biasa dalam buku teks patologi.

Ketika ditanya sama ada Teoh sedar atau tidak ketika jatuh kerana wujud keretakan pada kaki seperti menahan terjunan, Pornthip berkata, keadaan sedar Teoh tidak boleh ditentukan berdasarkan keretakan pada kakinya.


“Mendarat pada kaki tidak memberi apa-apa makna. Saya tidak boleh membuat kesimpulan yang Teoh masih sedar ketika jatuh,” katanya.

Apabila pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen bertanya pendapatnya sama ada Teoh mati akibat dicekik atau mati kerana terjatuh, Pornthip menjelaskan ia mungkin boleh berpunca daripada kedua-duanya.

Selain itu, Pornthip yang juga Pengarah Institut Sains Forensik, Jabatan Keadilan Thailand bersetuju dengan kenyataan seorang panel suruhanjaya, Datuk T Selventhiranathan bahawa jika seseorang itu berniat membunuh diri, dia akan melakukannya tanpa ada kesan atau tanda yang menunjukkan dia bertahan diri ketika terjun.

Beliau juga menjelaskan kepada suruhanjaya, pengetahuannya adalah berdasarkan pengalaman sendiri dan ada yang dipelajari daripada buku teks.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14, Plaza Masalam.


Inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematiannya bermula pada 29 Julai 2009 berikutan menimbulkan tanda tanya kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil ke SPRM untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.


Mahkamah Koroner di Shah Alam pada 5 Januari lalu bagaimanapun memutuskan hasil inkues itu sebagai keputusan atau penghakiman terbuka (open verdict) dengan mengesahkan Teoh tidak dibunuh mahupun membunuh diri.


Berikutan dengan keputusan Mahkamah Koroner itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 Januari lalu mengumumkan penubuhan satu Suruhanjaya Diraja untuk meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM bagi menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi ketika proses siasatan terhadap Teoh.
myMetroPerbezaan pada leher

No comments:

Post a Comment