Sunday, April 3, 2011

“Saya tak menyesal”



SURA GATE – “Dulu masa jadi artis, saya pernah mencuba untuk menjadi baik, memegang watak baik ketika berlakon, tetapi dugaannya terlalu hebat.

“Akhirnya saya menemui jalan benar lalu memilih untuk masuk Pas bagi memperjuangkan Islam dan saya tak menyesal masuk Pas,” itulah pengakuan Bob Lokman ketika berkongsi pengalaman pada ceramah di Masjid Zainal Abidin, malam kelmarin.

Bob yang menjadi penceramah undangan ketika menyampaikan ceramahnya berkata, dia tidak pernah menyesal memilih Pas sebagai landasan perjuangan, sebaliknya bersyukur kerana Tuhan membuka pintu taubat-Nya dan memilih jemaah Pas untuk bersama kepimpinan lain memartabatkan Islam.

Bob berkata, biarpun tiada kemewahan duniawi diperoleh dengan menyertai parti terbabit, namun apa yang dirasai adalah ketenangan jiwa selain menyanjung sikap beberapa pemimpin Pas yang meletakkan kesederhanaan dalam kehidupan mereka.

“Saya lihat sesetengah wakil parti tertentu, baru sepenggal menjadi Yang Berhormat, tapi masya-Allah, rumahnya besar macam empat penggal.

“Tapi pemimpin Pas, amat jauh bezanya, ini menyebabkan saya tertarik kerana mereka meletakkan Islam sebagai perjuangan dalam kehidupan politik mereka,” katanya dalam ceramah yang dihadiri kira-kira 2,000 orang itu.

Hadir sama, Yang DiPertua Pas Kawasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hassan Mohd Ramli dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani.

Bercerita mengenai keruntuhan akhlak generasi hari ini, Bob berkata, ia berpunca daripada sistem pendidikan sekular yang mengetepikan Islam sebagai aspek pembangunan rohani.

Katanya, sistem terbabit yang diwarisi daripada British sama sekali mengetepikan Islam sebagai asas kehidupan, jadi tidak hairanlah sekiranya isu gejala keruntuhan moral membabitkan anak muda hari ini sukar dibendung.

“Kita kena balik kepada asas Islam dalam pendidi-kan, betulkan niat untuk ke sekolah, untuk jadi orang Islam, bukan hanya untuk jadi orang pandai yang akhirnya tidak mengamalkan cara hidup Islam dalam pekerjaan mereka.

“Apabila asas pendidikan tidak betul, maka gejala rasuah berleluasa kerana mereka tidak takut dengan Allah dalam pekerjaan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment