Wednesday, June 22, 2011

2 lagi hospital dibina di universiti


RUJHAN (kiri) menyampaikan ucapannya pada Majlis Bicara Tokoh dan Pelancaran Laman Web HUSM 2011 di Kampus Kesihatan HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Kementerian Pengajian Tinggi akan membina dua buah lagi hospital di universiti tempatan sebagai tempat rujukan dan penyelidikan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa berkata, dua hospital pengajar itu akan dibina di Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak di bawah Rancangan Malaysia kesepuluh.

Menurutnya, buat masa ini, penuntut Fakulti Perubatan universiti berkenaan menjalankan rujukan dan penyelidikan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah dan Hospital Petrajaya, Kuching Sarawak.

Jelasnya, hanya tiga universiti mempunyai hospital pengajar sendiri iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah terbukti mampu memberikan perkhidmatan, rujukan dan penyelidikan bertaraf dunia.

“Pembinaan dua buah lagi hospital di universiti ini akan menjadikan jumlah keseluruhan hospital pengajar di negara ini kepada lima buah,” katanya pada Majlis Bicara Tokoh dan Pelancaran Laman Web HUSM 2011 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed, Pengarah HUSM, Datuk Dr. Zaidun Kamari dan Ketua Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM Kampus Kesihatan, Prof. Dr. Jafri Malin Abdullah.

Rujhan berkata, penubuhan hospital berkenaan penting supaya penuntut mendapat latihan yang berkesan sebagai persediaan memberi perkhidmatan setelah bergelar doktor.

“Mereka juga mampu mendapatkan pengalaman dan membuat kajian serta penyelidikan kerana hospital pengajar dilengkapkan dengan pelbagai peralatan moden,” ujarnya.

Kosmo! Online - Negara

No comments:

Post a Comment