Wednesday, June 22, 2011

KDN senarai hitam 20 IPTS

PULAU PINANG 21 Jun – Lebih 20 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) disenarai hitam oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) daripada mengambil penuntut luar negara kerana disyaki membawa masuk pekerja asing menggunakan pas pelajar.

Ketua Sektor Operasi Unit Pemerdagangan Manusia Jabatan Imigresen, Abdul Hamid Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati kebanyakan IPTS terlibat memberi maklumat tidak tepat mengenai profil penuntut asing masing-masing bagi mengelak kegiatan mereka diketahui pihak berkuasa.

Justeru jelas beliau, pihaknya melalui Bahagian Pas Pelajar tidak akan mengeluarkan pas bagi pengambilan penuntut baru untuk IPTS tersebut.

“Dalam lawatan yang kami buat, ada IPTS yang mempunyai pendaftaran penuntut asing lebih daripada 1,000 orang sedangkan premis pengajiannya hanya mampu memuatkan 80 orang dan yang paling menghairankan, didapati cuma sembilan penuntut asing yang belajar.

“Bila dipersoalkan mereka gagal memberi jawapan. Kami percaya ada pihak-pihak tertentu telah menggunakan kolej untuk membawa pekerja asing yang kononnya berdaftar sebagai penuntut," katanya.

Beliau berkata demikian semasa perbincangan meja bulat bengkel sistem dan prosedur penguatkuasaan pemerdagangan manusia anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang di sini hari ini.

Turut menjadi panel dalam perbincangan itu ialah Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob dan Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Latifah Md. Yatim.

Dalam perkembangan berkaitan menurut Abdul Hamid, pihaknya baru-baru ini membatalkan kelulusan sekumpulan rakyat India daripada memasuki negara ini untuk melanjutkan pengajian di IPTS meskipun kelulusan mengenainya telah diberi pihak berkaitan.

“Bayangkan hasil siasatan yang dibuat, kesemua mereka tidak langsung pandai membaca. Macam mana mahu jadi pelajar kalau berkeadaan begitu. Sudah pasti mereka bukan pelajar yang sepatutnya tetapi dibawa masuk oleh pihak tertentu untuk tujuan lain," katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment