Wednesday, June 22, 2011

Rebut lesen bazar Ramadan



ORANG ramai beratur untuk membeli borang bazar Ramadan  yang dikeluarkan  MBPJ di  Dewan D’ Klana.
ORANG ramai beratur untuk membeli borang bazar Ramadan yang dikeluarkan MBPJ di Dewan D’ Klana.

Orang ramai tunggu sejak tengah malam dapatkan borang tapak jualan

PETALING JAYA: Siapa cepat, dia dapat! Begitulah situasi di kaunter jualan borang Bazar Ramadan 2011 yang dilaksana Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila orang ramai sanggup menunggu di Dewan D’ Klana dan Stadium Kelana Jaya, di sini, seawal jam 12.30 tengah malam untuk mendapatkan borang bagi memperoleh tapak jualan bazar yang hanya dijual bermula jam 9 pagi semalam.

Situasi itu juga menyebabkan orang ramai tidak berpuas hati apabila pihak tidak bertanggungjawab membuat nombor giliran bermula angka satu hingga 135 bagi tapak Bazar Ramadan Damansara Damai yang membolehkan hanya mereka memiliki nombor berkenaan saja layak mendapat borang.
Lebih memburukkan keadaan apabila mereka yang memperoleh nombor giliran itu turut membabitkan ramai kalangan ahli keluarga sama yang kemudian berhasrat menjual borang berkenaan dengan harga berkali ganda demi mengaut keuntungan segera.
Suri rumah, Sharifah Maznah Syed Mohd Al Yahya, 60, berkata beliau tiba di Stadium Kelana Jaya seawal jam 4 pagi untuk membeli borang jualan tapak Bazar Ramadan Damansara Damai, tetapi hampa apabila individu disangkanya pegawai MBPJ, memaklumkan dia tidak mendapat borang itu kerana nombor giliran sudah mencukupi.

“Mereka ulat nombor dan saya mengetahuinya selepas itu apabila MBPJ memaklumkan tidak menetapkan sistem nombor giliran. Mereka mengagihkan nombor giliran kepada kenalan dan hanya yang memiliki nombor saja dibenar berbaris di kaunter, manakala yang lain dihalau dari kawasan itu.

“Jadi, saya meminta penguat kuasa MBPJ menyiasat hal ini kerana sebaik proses penjualan borang berharga RM5 selesai, ada di kalangan kami menerima SMS menawarkan pembelian borang itu dengan harga lebih RM300,” katanya.

Sebanyak 1,603 petak dibuka untuk jualan membabitkan 21 kawasan Bazar Ramadan MBPJ dan antara lokasi tumpuan peniaga ialah Kota Damansara, Kelana Jaya, Taman Medan dan Damansara Damai kerana strategik, selain bilangan pembeli yang ramai.
Tapak bazar jualan bagi kawasan Damansara Damai dibuka 135 petak, sedangkan peniaga yang menanti untuk mendapatkan borang itu lebih 200 orang hingga menimbulkan ketegangan, manakala di Dewan D’ Klana pula, segelintir peniaga terpaksa berasak bagi mendapatkan borang untuk kawasan Bazar Ramadan Kelana Jaya yang mempunyai 220 tapak.

Proses jualan borang itu juga menyebabkan banyak pihak tidak berpuas hati kerana MBPJ seharusnya menjual borang lebih daripada kuantiti petak disediakan, sebelum membuat pilihan mereka yang layak berniaga di situ.

Norziana Ajmain, 35, berkata proses jualan borang semalam, mencetuskan kemarahan orang ramai yang menganggap tindakan MBPJ itu sebagai tidak telus, malah memberi ruang pihak tertentu mengaut untung secara haram.

“Jualan semula borang itu mungkin dilakukan ahli keluarga mereka yang ramai memperolehnya selepas mendapat nombor giliran. Ini tidak adil dan kami berharap MBPJ bertindak tegas membanteras kegiatan ini yang menganiaya peniaga seperti kami yang dinafikan hak untuk membeli borang itu,” katanya.

Ahli Majlis Zon 1 MBPJ, Syed Abd Malik Al Jafree pula berkata, beliau akan menyiasat dan meminta MBPJ meneliti semula borang permohonan yang dihantar kerana kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak membeli borang untuk dijual semula dengan harga tinggi.

“Saya akan membincangkan perkara ini serta cuba menyelesaikannya kerana saya sendiri menerima SMS tawaran pembelian borang itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha MBPJ, Ahmad Mahayin Said, berkata pihaknya mengeluarkan borang mengikut jumlah petak disediakan dan setiap borang diaudit Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Peniaga harus menghantar dua keping gambar mereka dan pekerja supaya tidak wujud kes ‘Ali Baba’. Pegawai penguat kuasa akan memantau proses jualan di Bazar Ramadan kelak supaya perkara memajak tapak jualan atau menjualnya kepada orang lain tidak berlaku,” katanya.
Berita Harian Online | Rebut lesen bazar Ramadan

No comments:

Post a Comment