Wednesday, June 22, 2011

4 ketua JI menuntut di maahad

KUALA LUMPUR 21 Jun – Empat pemimpin militan Jemaah Islamiah (JI) dikesan pernah belajar di sebuah maahad swasta di negara ini seterusnya mengembangkan kepakaran mereka dalam kegiatan militan di Malaysia.

Kesemua mereka pernah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana terlibat dalam pelbagai jenayah militan, antaranya melakukan pengeboman berani mati di Bali, Indonesia pada 12 Oktober 2002.

Menurut sumber polis, salah seorang daripada mereka iaitu Nasir Abas, 42, merupakan rakyat tempatan kelahiran Johor dan pernah dilantik sebagai Ketua Mantiqi 3 JI meliputi kawasan Sabah, Sulawesi dan selatan Filipina.

Menurut pengakuan Nasir yang telah dibukukan, dia diminta membantu menjadi tenaga pengajar di maahad swasta tersebut pada tahun 1984, namun membuat keputusan untuk menjalani latihan di Afghanistan pada tahun 1987.

Selepas tamat latihan di Afghanistan pada 1992, dia diarahkan membuka kem latihan JI di selatan Filipina.

Pengakuan terbuka Nasir bersama tiga pengikut berani mati JI juga pernah disiarkan sebuah stesen televisyen tempatan.

“Nasir bersama tiga lagi anggota JI ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas terlibat dalam insiden yang mengorbankan 202 orang itu.

“Dia dibebaskan oleh pihak berkuasa Indonesia dan kini menyertai program-program komuniti pemulihan ideologi Salafiah Jihadiah di kalangan pengikut tegar JI di negara itu,” kata sumber itu.

Mingguan Malaysia pada Ahad lalu mendedahkan kegiatan sebuah maahad di negara ini yang didakwa menyebarkan fahaman Salafiah Jihadiah dengan merekrut pelajar sebelum dihantar menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan selatan Filipina.

Sumber itu memberitahu, selain Nasir, tiga lagi pemimpin yang pernah belajar di maahad tersebut ialah warga Indonesia iaitu Ali Ghufron @ Mukhlas, Sunarto Kartodihajo @ Adung dan Mohamed Iqbal Abdurrahman @ Abu Jibril.

Mukhlas dikatakan mengikuti pengajian di maahad swasta tersebut sejak awal 1986 sebelum menyertai Abdullah Sungkar dan pemimpin JI Indonesia, Abu Bakar Bashir ke Afghanistan pada Mac tahun yang sama.

“Mukhlas merupakan ketua operasi JI dalam projek pengeboman Bali dan dikesan tiba di maahad tersebut pada 1989. Dia ditugaskan merekrut anggota JI baru di Johor dengan membuka sekolah agama Luqmanul Hakiem di Ulu Tiram.

“Antara yang berjaya direkrut menjadi pakar bom ialah pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Azhari Hussein dan Nordin Mat Top,” katanya.

Kata sumber itu lagi, Abu Jibril pula merupakan pengikut kanan Abu Bakar yang bersama Adung melarikan diri dan bersembunyi di maahad swasta tersebut pada 1985.

Menurutnya, Abu Jibril paling aktif merekrut warga tempatan untuk menyertai JI di sekitar Lembah Klang dan Selangor manakala Adung dilantik sebagai ketua JI di kawasan ini selepas Mukhlas ditangkap pada Disember 2002.

Antara yang berjaya direkrut Abu Jibril ialah Yazid Sufaat, anggota kanan JI Malaysia yang turut dikaitkan dengan operasi al-Qaeda.

Abu Jibril turut dikaitkan dengan beberapa siri pengeboman dilakukan pengebom berani mati JI, Nordin Mat Top.

Sumber itu mendakwa, kedatangan Abdullah Sungkar dan Abu Bakar bersama 50 lagi anggota Darul Islam yang melarikan diri dari pihak berkuasa Indonesia ke maahad tersebut pada April 1985, bukanlah satu kebetulan.

“Faktor utama pemilihan maahad itu sebagai tempat perlindungan dan belajar adalah kerana mereka mengikut fahaman Salafiah Jihadiah yang sama dengan fahaman pengasas maahad tersebut,” katanya lagi.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment