Thursday, July 14, 2011

3 cedera lepas polis tembak pemberontak pelajar

BIMA (Indonesia): Pasukan keselamatan Indonesia yang mengepung kawasan sekolah agama Islam berasrama di timur negara itu telah melepaskan tembakan ke arah para pemberontak pelajar sekolah tersebut mengakibatkan tiga orang cedera, demikian disahkan polis nasional Indonesia semalam, menurut satu laporan versi dalam talian sebuah akhbar tempatan.

Akhbar Jakarta Globe semalam melaporkan bahawa polis nasional Indonesia mengesahkan bahawa mereka telah mengerahkan pasukan keselamatan tambahan, yang berkemungkinan anggota pasukan antipengganasan elitnya, Densus 88, ke Sekolah Islam Umar bin Khatab di Bima, dalam daerah pulau Sumbawa, di wilayah Nusa Tenggara Barat, hampir 48 jam selepas sebuah bom buatan sendiri meletup secara tidak sengaja dan membunuh seorang suspek pengganas.

Difahamkan, empat platun Briged Bergerak (Brimob) dan unit antipengganasan polis, serta pasukan tambahan daripada Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah mengepung sekolah berkenaan, yang dipercayai menjadi tempat persembunyian 45 pelajar, guru dan beberapa penyokongnya.

Para pelajar bersenjatakan kayu dan parang telah mencegah para penyiasat daripada memasuki kawasan sekolah itu, tempat kejadian letupan tersebut, dalam satu pertentangan yang agak tegang.

Jurucakap polis nasional, Inspektor Jeneral Anton Bachrul Alam, memberitahu Jakarta Globe bahawa polis telah menembak ke arah sekumpulan pelajar yang membaling batu ke arah mereka.

Menurut beliau, polis bertindak balas dengan menembak ke arah mereka menyebabkan tiga orang cedera.

Sekolah tersebut dikaitkan dengan kumpulan tegar, Jemaah Ansharut Tauhid (JAT), yang diasaskan Abu Bakar Bashir, pemimpin Jemaah Islamiyah Indonesia.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment