Thursday, July 14, 2011

Lelaki dihukum jel 10 minggu kerana aniaya pembantu rumah

SINGAPURA
SEORANG lelaki dihukum penjara 10 minggu semalam atas dua kesalahan menganiaya pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia.

Mahkamah semalam turut mengarahkan Hamzah Abdullah, 30 tahun, seorang renjer, membayar pampasan berjumlah $1,500 kepada mangsa, Cik Solikhatun Khasanah, 29 tahun.

Andai dia gagal melunaskan pampasan tersebut, Hamzah perlu meringkuk dua minggu lagi di dalam penjara.

Hamzah mengaku menendang dahi amahnya, menumbuk mata kirinya dan memijak bahagian atas belakang badan mangsa setelah menolaknya ke lantai pada 10 Oktober tahun lalu.

Dia juga telah merotan kaki mangsa kira-kira seminggu sebelum kejadian itu di flatnya di Jurong.

Mahkamah turut diberitahu bahawa mangsa sedang memakaikan sandal ke kaki anak si pelaku yang berusia tiga tahun pada 10 Oktober lalu, apabila dia menjadi baran setelah ternampak tali sandal itu putus, lantas memukul Cik Solikhatun.

Penganiayaan terhadap mangsa terbongkar semasa polis membuat siasatan.

Cik Solikhatun mendedahkan bahawa beliau sebelum ini dirotan oleh majikannya. Ini dilakukan sebagai menghukumnya kerana terlupa mengunci tingkap.

Hamzah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau didenda sehingga $7,500 atau kedua-duanya sekali bagi setiap tuduhan yang dihadapi.

Cyberita Online Singapura

No comments:

Post a Comment