Thursday, July 14, 2011

Polis Indonesia terpaksa lepaskan tembakan



PARA pelajar Sekolah Berasrama Umar bin Khatab ditahan oleh pihak berkuasa semasa mereka mahu meninggalkan kawasan sekolah itu sebelum berlaku keganasan, di Kampung Sanolo, pulau Sumbawa, Indonesia, kelmarin. – Agensi


MATARAM, Indonesia 13 Julai – Tiga orang cedera apabila polis Indonesia melepaskan tembakan ketika menyerbu sebuah sekolah berasrama penuh di bandar Bima selepas hari ketiga dihalang oleh pelajar bersenjata, ekoran satu letupan bom yang membunuh seorang suspek pengganas.

Jurucakap polis kebangsaan, Inspektor Jeneral Anton Bachrul Alam berkata, polis melepaskan tembakan ke arah sekumpulan pelajar Sekolah Berasrama Umar bin Khatab yang melemparkan batu ke arah mereka.

‘‘Pelajar melemparkan batu ke arah ketua polis dan anggotanya. Mereka mengalami cedera ringan,’’ katanya kepada Jakarta Globe.

Beliau berkata, tiga orang cedera selepas polis melepaskan tembakan.

Jurucakap polis wilayah, Sukarman Hussein berkata, 200 polis dan askar dikerahkan ke sekolah tersebut tetapi ditempatkan di kawasan agak jauh dari sekolah itu bagi mengelak memburukkan keadaan.

Polis berkata, sekolah berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan guru radikal agama, Abu Bakar Bashir yang dipenjara selama 15 tahun kerana menaja kumpulan militan.

Pasukan keselamatan tiba di sekolah di bandar Bima, Nusa Tenggara Barat, Isnin lalu selepas bom buatan sendiri meletup di sebuah kelas dan membunuh seorang lelaki dipercayai pakar bom yang dilatih di Filipina.

Selepas letupan tersebut, beratus pelajar dan guru bersenjatakan pisau dan pedang berkumpul di pintu masuk dan menghalang polis dan askar menyiasat kejadian itu.

Menteri Hal Ehwal Agama, Suryadharma Ali berkata, polis perlu mengambil tindakan tegas jika sekolah itu mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

‘‘Jika sesiapa yang dikaitkan dengan letupan bom itu, didapati anggota kumpulan radikal, sekolah itu perlu ditutup dan pelajar itu dipantau,’’ katanya dipetik oleh akhbar Jakarta Globe. – AFP/ Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment