Monday, July 11, 2011

AS henti bekalan ke Pakistan

WASHINGTON 10 Julai - Amerika Syarikat (AS) mengantung atau membatalkan bantuan bernilai beratus-ratus juta dolar kepada tentera Pakistan ekoran ketegangan hubungan kedua-dua negara bersekutu itu.

Menurut The New York Times yang memetik pegawai kanan AS yang enggan dikenali, tindakan itu diambil bagi memberi pengajaran kepada Pakistan kerana mengusir jurulatih-jurulatih AS dan untuk menekan tentera negara itu supaya menentang militan dengan lebih efektif.

Akibat serangan ke atas Osama bin Laden pada awal Mei lalu, AS memanggil pulang berpuluh-puluh jurulatih tenteranya atas arahan Pakistan, manakala ketegangan berhubung serangan drone AS ke atas militan di sempadan Afghanistan masih berterusan.

Menurut The Times, kira-kira AS$800 juta (RM2.4 bilion) bantuan tentera dan peralatan atau lebih satu pertiga daripada sejumlah AS$2 bilion (RM6 bilion) bantuan tahunan keselamatan AS kepada Pakistan akan terjejas dengan tindakan AS itu.

Bantuan ini termasuklah kira-kira AS$300 juta (RM898 juta) untuk menampung kos penempatan lebih 100,000 tentera di sepanjang sempadan Afghanistan oleh Pakistan serta beratus-ratus dolar dalam bentuk bantuan latihan dan peralatan tentera, lapor The Times.

Sesetengah pengurangan bantuan itu juga adalah peralatan yang mahu diberikan kepada Pakistan tetapi ditolak, seperti rifel, peluru, baju perisai dan penghapus bom, tambah akhbar itu.

Menurut The Times, bantuan ini ditarik balik atau dihentikan selepas Islamabad mengarahkan lebih 100 pelatih Pasukan Tentera Khas meninggalkan negara itu beberapa minggu lalu.

Sementara itu, Jurucakap Ketua Tentera Pakistan, Mejar Jeneral Athar Abbas menyifatkan laporan New York Times yang mengkritik angkatan tentera dan agensi perisikan mereka sebagai 'serangan secara langsung' kepada keselamatan negara itu.

Athar secara berulang kali mengecam laporan akhbar itu dan menyatakan ia sebagai sebahagian daripada rancangan AS untuk 'melemahkan Pakistan'.

"Ini adalah serangan secara langsung kepada pertubuhan keselamatan dan agensi perisikan kami.

"Kami menganggap Perisikan Antara Perkhidmatan (ISI) sebagai pertubuhan perisikan strategik dan juga merupakan barisan hadapan pertahanan negara kami," katanya dalam satu wawancara bersama Reuters di Pakistan, semalam. - AFP/Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment