Monday, July 11, 2011

Yingluck didakwa tidak tunaikan janji pilihan raya



Yingluck Shinawatra


BANGKOK 10 Julai - Bakal Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dituduh tidak menunaikan sekurang-kurangnya empat perkara yang beliau janjikan ketika berkempen dalam pilihan raya baru-baru ini.

Timbalan jurucakap Parti Demokrat, Boonyod Sukthinthai berkata, Yingluck sebelum ini berjanji untuk memansuhkan Dana Minyak, tetapi kemudiannya menyatakan kerajaan beliau masih belum dibentuk dan akan menggantung sementara waktu sumbangan kepada kumpulan itu.

Menurutnya, Yingluck turut berjanji bahawa Suruhanjaya Perdamaian bagi Kebenaran akan diberikan kebebasan untuk mengendalikan tugas, tetapi kemudian mahu suruhanjaya itu mempercepatkan kerja mereka.

"Ini sekali gus menunjukkan beliau telah masuk campur dengan kerja suruhanjaya itu," kata Boonyod.

Katanya, bakal Perdana Menteri itu juga sebelum ini cuba menyakinkan rakyat bahawa beliau membentuk Kabinet baru di Thailand, tetapi terdapat laporan yang menyatakan anggota Parlimen Pheu Thai dalam jumlah yang besar mengadakan lawatan ke Brunei dan Hong Kong untuk berjumpa dengan pemimpin sebenar parti itu, Thaksin Shinawatra.

Selain itu, adik kepada Thaksin itu juga sebelum ini menyatakan akan meminda Artikel 112 berkaitan penghinaan raja dalam Akta Jenayah, tetapi kemudiannya memberitahu tidak mahu ia disalah gunakan, tambahnya.

Boonyod dalam pada itu turut meminta rakyat untuk melihat sama ada Yingluck akan memindahkan beberapa pegawai kerajaan seperti ketua pengarah Jabatan Siasatan Khas dan gabenor wilayah Chiang Mai.

Sementara itu, Wirat Kalyasiri yang merupakan anggota pasukan undang-undang Parti Demokrat berkata, petisyen parti itu yang dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membubarkan Parti Pheu Thai kerana bertindak mengikut arahan bekas Perdana Menteri yang digulingkan, Thaksin yang kini diharamkan berpolitik selama lima tahun.

"Tindakan ini diambil bagi membolehkan Suruhanjaya itu menegakkan undang-undang dan bukan untuk membalas dendam kerana tewas dalam pilihan raya," kata Wirat. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment