Monday, July 11, 2011

Presiden Yemen pulang 17 Julai ini

KAHERAH 10 Julai – Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh merancang untuk pulang ke tanah air pada 17 Julai ini, lapor stesen Al Arabiya hari ini dengan memetik sumber tidak dikenali.

Kepulangan Saleh dari Arab Saudi, di mana beliau menerima rawatan kerana kecederaan serius yang dialami dalam serangan ke atas istananya di Sanaa pada awal bulan lepas, akan menandakan hari ulang tahun ke-33 beliau menjadi Presiden.

Saleh dipercayai memilih tarikh itu untuk memberi mesej beliau masih menjadi Presiden Yemen yang sah sehingga September 2013, menurut Al Arabiya.

Dengan kesan terbakar jelas kelihatan pada wajah beliau dan lengannya berbalut, Saleh dalam ucapan pertamanya di televisyen pada Khamis lalu dengan tegas menyatakan beliau tidak akan berundur.

Saleh menawarkan dialog dan perkongsian kuasa dalam kerangka Perlembagaan dan undang-undang Yemen tetapi ucapan beliau itu membangkitkan kemarahan puluhan ribu penunjuk perasaan antikerajaan. – dpa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment