Monday, July 11, 2011

PM Mesir arah pecat polis disyaki membunuh

KAHERAH 10 Julai - Perdana Menteri Mesir, Essam Sharaf mengarahkan dipecat semua anggota polis yang dituduh membunuh penunjuk perasaan semasa pemberontakan yang menumbangkan Presiden Hosni Mubarak pada Februari lalu.

Arahan itu adalah antara beberapa langkah yang bertujuan untuk memenuhi tuntutan penunjuk perasaan.

Sharaf dalam ucapan di televisyen kerajaan semalam berkata, beliau 'mengeluarkan arahan kepada Menteri Dalam Negeri supaya memecat semua anggota polis yang dituduh membunuh penunjuk perasaan'.

Beliau berkata demikian ketika beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir di sini untuk menuntut pembaharuan politik, sehari selepas rapat umum besar-besaran di seluruh negara mengutuk tentera yang memerintah negara ini buat sementara waktu.

Antara tuntutan yang dibangkitkan pada protes kelmarin ialah orang awam tidak lagi dibicarakan oleh mahkamah tentera, anggota polis yang dituduh membunuh penunjuk perasaan dipecat dan didakwa, dan bekas pegawai rejim dibicarakan dengan segera dan secara telus.

Sharaf berjanji untuk memenuhi tuntutan penunjuk perasaan itu, termasuk menyegerakan perbicaraan terhadap pegawai rejim Mubarak.

Katanya, beliau mengarahkan penubuhan sebuah panel bagi mengkaji semula perbicaraan terhadap mereka yang dituduh membunuh penunjuk perasaan dan menerima rasuah, dengan secepat mungkin.

Namun ucapan itu disambut dingin oleh aktivis prodemokrasi.

Anggota Barisan Keadilan dan Demokrasi, Mohammed Waked menolak ucapan Sharaf sebagai 'retorik kosong'.

Katanya, penunjuk perasaan mahu semua anggota polis yang dituduh menyeksa tahanan dihadapkan ke muka pengadilan, termasuk mereka yang melakukannya sebelum pemberontakan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment