Friday, July 8, 2011

Bersih masih mahu berhimpun di Stadium Merdeka

KUALA LUMPUR 7 Julai - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) terus berdegil apabila tetap mahu mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka Sabtu ini, meskipun Kabinet tidak membenarkannya atas alasan kumpulan itu adalah pertubuhan haram.

Dalam satu kenyataan hari ini Bersih memberitahu, pihaknya tidak akan berganjak dengan keputusan untuk berhimpun di Stadium Merdeka yang dianggap sebagai lokasi strategik bagi tujuan itu.

"Kami tetap akan berkumpul secara aman bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil di Stadium Merdeka pada pukul 2 petang Sabtu ini. Kami akan berhimpun beramai-ramai dan bersama-sama membina negara Malaysia yang lebih baik," ujar kenyataan itu.

Semalam, Kabinet yang mendapat pandangan dan nasihat Pejabat Peguam Negara memutuskan tidak akan membenarkan perhimpunan Bersih diadakan di Stadium Merdeka kerana gabungan itu bukan pertubuhan sah.

Bersih yang turut memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar bahawa polis akan mengambil tindakan ke atas mereka sekiranya meneruskan perhimpunan tersebut memberitahu, mereka tidak akan ditakut-takutkan dengan amaran itu.

"Kami sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air mahu hak kami untuk memilih pemimpin dengan cara demokrasi. Kami tidak akan ditakut-takutkan dengan penyalahgunaan kuasa yang tidak bermoral dan tidak adil.

"Tanggungjawab kami adalah untuk masa depan kami dan anak-anak. Kami sudah memasang tekad agar mereka tidak mewarisi negara yang diperintah berdasarkan ketakutan dan tidak berpandukan prinsip keadilan," tambah kenyataan itu lagi.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment