Friday, July 8, 2011

Inkues Ahmad Sarbaini: ‘Sarbaini pernah mengaku ambil rasuah’

Hadir mahu tukar pengakuan

KUALA LUMPUR: Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed pernah mengaku menerima rasuah daripada dua syarikat ejen penghantaran membabitkan sejumlah wang ketika mangsa memberi keterangan di depan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 4 April lalu.

Ketua Unit Siasatan SPRM Wilayah Persekutuan, Mohamad Fauzi Husin memberitahu Mahkamah Koroner semalam, Ahmad Sarbaini menerima rasuah daripada syarikat ejen Top Mark Shipping antara RM30 hingga RM200 sebulan manakala antara RM50 hingga RM100 sebulan diberikan lelaki dikenali sebagai Wan Zainal daripada Syarikat Schenker Logistics Sdn Bhd.
Saksi kelapan inkues itu, Ahmad Sarbaini ditahan dan dibawa ke pejabat pada 1 April lalu bersama empat lagi anggota KDRM untuk diambil keterangannya apabila disyaki terbabit menerima rasuah daripada ejen penghantaran dalam usaha mengurangkan cukai bagi memudahkan proses penghantaran barang dalam Operasi 3B SPRM.
Katanya, ketika kejadian pada 6 April 2011, beliau mengendalikan mesyuarat pagi di tingkat tiga bangunan SPRM jam 8.40 pagi sebelum Penolong Penguasa, Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad masuk dan memberitahu Ahmad Sarbaini datang menukar pengakuannya dalam rakaman percakapan daripada menerima rasuah kepada tidak.

“Sheikh Niza memberitahu beliau tidak pernah mengatur temu janji dengan Ahmad Sarbaini. Selepas itu saya arahkan Ghani (Abdul Ghani Ali) untuk bertanya lebih lanjut kepada arwah kenapa beliau ingin tukar pengakuan sebab baru selang sehari beliau datang mengaku kemudian tak mengaku pula,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Beliau memberi keterangan di depan Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam prosiding inkues kematian Ahmad Sarbaini ditemui mati di gelanggang badminton aras satu bangunan SPRM Jalan Cochrane di sini.

Mohamad Fauzi berkata, selepas selesai mesyuarat beliau masuk ke biliknya dan 20 minit kemudian, Abdul Ghani datang dan memberitahu beliau menghubungi Wan Zainal dan akan tiba di pejabat SPRM dalam tempoh dua jam.
Sehubungan itu, katanya, beliau mengarahkan Abdul Ghani menyuruh Allahyarham menunggu bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku termasuk berpakat dengan Wan Zainal yang dalam perjalanan ke pejabat.

Katanya, pada ketika itu Allahyarham berada di sofa Unit Siasatan Aras 3 sebelum mengarahkan Penolong Penguasa, Kamal Awang Besar membawanya ke bilik saksi bagi memastikan beliau tidak ditinggalkan sendirian.

“Bila Kamal bawa arwah dan saya masuk ke bilik saya. Bagaimanapun, 10 minit kemudian Rita (Henrita Serai Anak Andrew Lenggie) mengetuk pintu dengan kuat dan memberitahu nampak Ahmad Sarbaini jatuh tertiarap di tingkat satu ketika mencarinya di bilik pantri.”

“Saya bergegas ke bilik pantri dan menjenguk ke tingkap memang ada sekujur tubuh berdarah sebelum melaporkannya kepada Ketua Pengarah,” katanya.

Kamal yang menjadi saksi inkues kesembilan mengaku menerima arahan daripada Mohamad Fauzi dan mengajak Allahyarham yang membawa fail hijau ke bilik saksi sebelum meninggalkannya sendirian untuk bertemu Abdul Ghani dan Rita sebelum kembali semula dalam tempoh antara empat ke lima minit ke bilik berkenaan.
Berita Harian Online | Inkues Ahmad Sarbaini: ‘Sarbaini pernah mengaku ambil rasuah’

No comments:

Post a Comment