Friday, July 8, 2011

Jambatan rentas laut di China 'bahaya' sebab dibuat tergesa-gesa

BEIJING: Para pegawai China didakwa tergesa-gesa menyiapkan pembinaan jambatan merentasi laut yang terpanjang di dunia agar ia dapat dibuka sempena ulang tahun ke-90 Parti Komunis pada 1 Julai lalu.

Akibatnya, nat pada susur pengadang sepanjang 15 meter di Jambatan Teluk Jiaozhou hanya dipasang tetapi tidak diketatkan, lapor akhbar The Global Times.

Jambatan yang menghubungkan bandar pelabuhan China timur, Qingdao, ke pesisir pulau Huangdao itu sepanjang 36.5 kilometer.

Saluran televisyen China Central Television pada awal minggu ini turut melaporkan sistem lampu di jambatan itu juga belum dipasang sebelum jambatan itu dibuka pada 30 Jun lalu.

Kerja pemasangan dan pembinaan yang belum selesai itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan lagi.

'Masa suntuk ketika itu,' kata seorang pekerja pembinaan yang diwawancara saluran televisyen itu, sedang beliau mengetatkan nat di susur pengadang.

Akhbar The Global Times turut memetik seorang pakar jambatan daripada Universiti Beijing Jiaotong, Encik Han Bin, sebagai berkata:

'Beberapa kerja pembinaan tidak dapat diselesaikan sebelum jambatan ini dibuka secara tergesa-gesa kepada trafik sempena 1 Julai lalu. Jika kemalangan berlaku dan kenderaan melanggar rel adang, masalah mungkin timbul.'

Tarikh pembukaan projek prasarana utama di China biasanya sejajar dengan ulang tahun Parti Komunis atau Hari Kebangsaan pada 1 Oktober, sebagai mempamerkan pencapaian pemerintah.

Ketua jurutera Jambatan Teluk Jiaozhou, Encik Shao Xinpeng, bagaimanapun menegaskan struktur jambatan itu selamat dan sudah bersedia menerima laluan trafik.

Menurut beliau, sistem lampu di jambatan itu berfungsi sebagai perhiasan saja.

Namun, para pengguna Internet tidak yakin dengan kenyataan itu sambil menuduh para jurutera dan pihak berkuasa setempat mementingkan propaganda daripada keselamatan rakyat.

Mereka telah turut memuat naik video dan gambar-gambar bahagian jambatan itu yang pembinaannya belum selesai. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment