Friday, July 8, 2011

Gaji pekerja seluruh dunia semakin rendah

Akibat kebanjiran pekerja murah dari Eropah Timur dan China

KEBANJIRAN ribuan pekerja asing murah dari Eropah Timur dan China sejak dua dekad lalu telah menyebabkan gaji pekerja di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, menjadi lebih rendah.

Meskipun keadaan dijangka stabil kelak, pakar ekonomi meramalkan syarikat- syarikat akan mengalami masalah kekurangan pekerja pula, lantas menjejas daya penghasilan pekerja dan syarikat.

Dalam pada itu, perhatian khusus dan bantuan perlu diberi kepada pekerja bergaji rendah, seperti pekerja pembersihan dan pengiriman, kata Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ong Ye Kung, ketika berucap di Persidangan Modal Insan Singapura semalam.

Beliau memberi lima saranan bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja. Antaranya beliau menyarankan syarikat memberi pekerja bergaji rendah gaji lebih tinggi daripada kadar pasaran.

'Banyak pertubuhan telah menunjukkan contoh baik dengan tidak memberi mereka gaji mengikut kadar pasaran, sebaliknya memberi mereka gaji baik dan gaji bagi menyara hidup mereka.

'Pertubuhan seperti itu dapat memberi gaji lebih tinggi kerana mereka memberi latihan kepada pekerja dan menyediakan peralatan serta kelengkapan sesuai bagi mereka menjalankan tugas.

'Saya rasa pendekatan seperti ini menunjukkan pertubuhan itu mempunyai belas kasihan, prihatin akan pekerjanya dan menganggap mereka sebahagian keluarga mereka. Ia satu sumber motivasi dan inspirasi bagi seluruh pertubuhan,' ujarnya.

Encik Ong turut menyarankan agar menggunakan teknologi dan program latihan di tempat kerja bagi mempertingkat daya penghasilan dan kemahiran pekerja.

Beliau juga menyarankan agar pekerja yang menunjukkan prestasi lebih baik diberi ganjaran dan syarikat melaksana sistem sumber manusia (HR) lebih fleksibel.

'Sedang tenaga kerja kian sukar didapat, munasabah bagi HR melihat dengan teliti sistem-sistem dan prosesnya demi memastikan ia terbuka dan fleksibel dan menimbangkan setiap calon yang ingin dan bersedia memenuhi sesuatu jawatan,' ujar Encik Ong.

Cyberita Online Singapura

No comments:

Post a Comment