Friday, July 29, 2011

Dr Awang Adek menang tuntutan saman fitnah RM10j

SHAH ALAM: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berjaya dalam kes tuntutan saman fitnah menuntut ganti rugi RM10 juta dikemukakannya terhadap The Edge Communications Sdn Bhd dan tiga pihak lagi berhubung isu pengeluaran lesen judi bola sepak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaleha Yusof yang membenarkan permohonannya untuk mendapatkan penghakiman terus saman berkenaan yang diputuskan dalam kamar beliau di sini, kelmarin.


Mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos RM8,000 kepada plaintif. Bagaimanapun jumlah ganti rugi akan ditaksirkan kemudian.

Peguam Ashmadi Othman yang mewakili Awang Adek ketika dihubungi memberitahu, Zaleha dalam keputusannya berkata, beliau menyifatkan tindakan defendan sebagai cuai dan membawa fitnah kepada plaintif kerana isu judi adalah sensitif di kalangan masyarakat Islam di negara ini.


Beliau berkata, defendan sendiri mengakui kesilapan mereka melalui surat permohonan maaf bertarikh 9 Julai tahun lalu berhubung artikel berkenaan.


Awang Adek memfailkan saman fitnah itu pada 18 Ogos tahun lalu dengan menamakan The Edge Communications Sdn Bhd iaitu syarikat penerbit kepada penerbitan The Edge Financial Daily; Ketua Editor, Dorothy Teoh, penulis, Chan Kok Leong dan syarikat pencetak penerbitan iaitu KHL Printing Co Sdn Bhd.

Dalam pernyataan tuntutannya, Awang Adek berkata, pada muka surat 14 penerbitan The Edge Financial Daily bertarikh 8 Julai tahun lalu, keempat-empat defendan menulis, menerbit, mencetak dan menyiarkan gambarnya berserta dengan pernyataan fitnah terhadapnya dalam bahasa Inggeris.

myMetro | Dr Awang Adek menang tuntutan saman fitnah RM10j

No comments:

Post a Comment