Friday, July 29, 2011

Korea: Tentera bantu operasi pembersihan


SEOUL 28 Julai - Berpuluh-puluh ribu tentera Korea Selatan menyertai operasi pembersihan besar-besaran hari ini selepas banjir melanda negara ini dan menyebabkan sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh.

Menurut Kementerian Pertahanan, kira-kira 40,000 tentera dengan peralatan berat menyertai lebih 4,000 polis dalam usaha pemulihan.

"Oleh kerana bencana ini adalah yang terburuk, kami akan menempatkan seramai mungkin anggota selagi ia tidak menjejaskan operasi harian tentera," kata jurucakap Kementerian Pertahanan kepada AFP.

Menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA), seramai 16 orang terbunuh di selatan Seoul selepas tanah runtuh dari Gunung Umyeon menimbus kawasan kediaman.

Seramai 13 orang lagi termasuk 10 pelajar terkorban di kawasan Chuncheon, 100 kilometer ke timur Seoul awal semalam juga akibat kejadian tanah runtuh.

Tanah runtuh dan sungai deras turut meragut nyawa 10 orang di wilayah Gyeonggi dan tiga lagi dilaporkan masih hilang di ibu negara ini serta wilayah berhampiran.

Laporan berita meletakkan angka mangsa yang hilang lebih 10 orang.

Kira-kira 1,300 kediaman dan 1,593 ekar kawasan tanaman pula ditenggelami air, memaksa lebih 4,200 penduduk meninggalkan kediaman mereka dan lebih 1,000 daripada mereka terpaksa tinggal di sekolah dan gereja.

Jalan utama di Seoul, semalam turut ditenggelami air dengan kenderaan bertaburan ditinggalkan pemiliknya yang lari menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, kebanyakan jalan dibuka semula hari ini selepas hujan lebat bertukar menjadi hujan rintik-rintik, tetapi 32 jalan dan jambatan di ibu negara ini dan kawasan sekitarnya masih ditutup. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment