Friday, July 22, 2011

Jangan Burukkan Imej Kerajaan Dengan Timbulkan Isu Pembelian Kapal Selam - Zahid

SEMPORNA, 22 Julai (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada pihak tertentu supaya tidak memburukkan imej negara dengan menimbulkan isu kononnya terdapat penyelewengan dalam pembelian dua kapal selam 'Scorpene' dari Perancis pada 2002. Zahid diminta mengulas mengenai kehadiran peguam Perancis William Bourdon di Pulau Pinang kelmarin pada majlis penerangan berhubung perkembangan terbaru dalam siasatan perjanjian pembelian kapal selam itu antara kerajaan Malaysia dengan firma pertahanan DCNS yang berpangkalan di Perancis. "Pembelian kapal selam merupakan sesuatu yang telus sebagaimana yang telah saya nyatakan di Parlimen. Harus ingat, sebarang kesilapan yang dilakukan oleh mereka, jangan ingat mereka boleh lepas," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia sempena Ops Pasir Sabah di Pulau Danawan di sini. Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya merasakan ada pihak tertentu yang mempunyai niat jahat di sebalik perkara itu dengan memburukkan kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang pada ketika itu menjadi menteri pertahanan. "Jangan hanya menuduh sebelah pihak...Kami juga punya bukti bahawa mereka mempunyai niat jahat. Saya akan pertahankan ini. Mereka harus ingat, jangan ingat bahawa mereka sahaja yang benar," katanya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment