Friday, July 22, 2011

Thai larang wakil Indonesia



Gambar bertarikh 6 Julai lalu menunjukkan kanak-kanak lelaki bermain di kawasan runtuhan kuil purba yang didakwa rosak akibat serangan roket Thailand semasa pertempuran Februari lalu di kuil Hindu abad ke-11 Preah Vihear, dekat sempadan Kemboja-Thailand di provinsi Preah Vihear, Kemboja. - AP


BANGKOK 21 Julai - Pemerhati Indonesia tidak dibenarkan memasuki kawasan pertikaian sempadan berdekatan dengan kuil Preah Vihear sehingga tentera Kemboja meninggalkan tempat itu, kata Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, hari ini.

Kemboja turut bersetuju dengan arahan tersebut walaupun mereka mempunyai pandangan yang berbeza tentang isu tersebut.

"Mesyuarat perlu dilakukan bagi membincangkan prosedur untuk menghalang daripada berlakunya salah faham," katanya.

Menurutnya, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengarahkan tentera kedua-dua negara untuk berundur dengan kadar segera.

Sementara itu, Penolong Ketua Pengarah Jabatan Maklumat di Kementerian Luar Negara, Jessada Katawethin berkata, agensi negara termasuk Kementerian Luar Negara dan Pertahanan perlu bertemu bagi membincangkan perintah ICJ sebelum mematuhinya.

Jessada menjangkakan mesyuarat pertama ini akan diadakan minggu depan selepas pasukan Thailand yang sedang menjalani perbicaraan di mahkamah kembali dari The Hague, Netherland.

Ketua Polis, Wichian Potephosree menaiki helikopter polis ke daerah tersebut untuk mendapatkan perkembangan terkini situasi di sempadan Thailand dan Kemboja itu.

Menurut Wichian, dia akan mengarahkan menguatkuasakan langkah-langkah keselamatan bagi memastikan keselamatan penduduk yang menetap di sepanjang sempadan itu serta harta benda mereka terjamin.

Tambahnya, situasi di kawasan sempadan Si Sa Ket masih lagi tenteram dan tidak berlaku sebarang kekacauan.

Tentera Thailand juga dikatakan tidak akan berundur selagi tidak mendapatkan arahan daripada kerajaan. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment