Thursday, July 28, 2011

Permohonan Anwar didengar 3 Ogos


KUALA LUMPUR 27 Julai – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Rabu depan untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menemubual lima saksi dalam kes liwat yang dihadapinya sebelum beliau memberi keterangan membela diri pada 8 Ogos ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam S.N. Nair yang mewakili Ketua Pembangkang itu menerusi e-mel yang dihantar kepada pihak media hari ini.

Permohonan tersebut yang akan didengar oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah, difailkan melalui firma guaman, Tetuan Karpal Singh & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi semalam.

Lima saksi yang ingin dipanggil untuk ditemubual oleh pasukan pembelaan Anwar ialah pemilik unit kondominium yang didakwa sebagai tempat kejadian, Hasanuddin Abd. Hamid; bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Permohonan itu dikemukakan dengan alasan bahawa pihak pendakwaan diwajibkan di sisi undang-undang untuk memastikan kehadiran kesemua saksi itu ke mahkamah atas kos pendakwaan bagi tujuan ditemu bual.

Dalam afidavit bagi menyokong permohonan tersebut, Anwar menyatakan bahawa pasukan pembelaannya bercadang memanggil 25 daripada sejumlah 71 saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Setakat ini, katanya, hanya lima individu telah ditemu bual iaitu doktor di Hospital Pusrawi, Dr. Mohammad Osman Abdul Hamid; kenalan keluarga Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Datuk Mumtaz Jaafar; pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Profesor Madya Khairil Annas Jusoh; dan pegawai perubatan pertama yang ditemui pengadu di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. J. Anantha Raj Daniel.

Afidavit itu juga menyatakan, melalui surat yang diterima oleh Nair daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bertarikh 18 Julai lalu memaklumkan bahawa Najib, Rosmah, Musa dan Mohd. Rodwan tidak mahu ditemubual tetapi akan hadir di mahkamah sekiranya mereka disapina.

Surat tersebut turut menyatakan bahawa Hasanuddin tidak bersedia untuk ditemubual oleh pasukan pembelaan kecuali melalui peguam beliau.

Pada 13 Julai lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memerintahkan Anwar mula memberi keterangan bela diri atas pertuduhan liwat mulai 8 hingga 26 Ogos ini setelah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atas pertuduhan tersebut.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment