Thursday, July 28, 2011

Sekutu Hamid Karzai dibom

Ghulam Haidar Hameedi maut ketika berbincang di Kandahar

KANDAHAR: Datuk Bandar Kandahar yang juga sekutu rapat Presiden Afghanistan, Hamid Karzai terbunuh dalam serangan bunuh diri di sini semalam, pembunuhan politik terbaru di selatan negara itu.

Pembunuhan itu berlaku dua minggu selepas adik lelaki Karzai yang berpengaruh ditembak mati di bandar ini dan ia juga menjadi halangan besar bagi Amerika Syarikat dan tentera asing yang lain untuk berundur dari bandar yang berdepan dengan pengaruh kuat Taliban.
Pengebom bunuh diri meletupkan bahan letupan yang disorok dalam serban dan membunuh Datuk Bandar, Ghulam Haidar Hameedi yang ketika itu sedang berbincang dengan penduduk tempatan di halaman dewan bandaran Kandahar, kata ketua polis Abdul Razeq memberitahu AFP.
Mereka yang terbabit dalam mesyuarat itu berkata, Hameedi sedang membincangkan mengenai pertelingkahan tanah dengan penduduk selepas beliau mengarahkan untuk merobohkan sesetengah penempatan haram dan dua kanak-kanak dilaporkan maut semasa kerja meruntuhkan itu Selasa lalu.

Taliban yang mendakwa bertanggungjawab ke atas pengeboman itu berkata, sukarelawan pengebom bunuh diri tampil selepas kematian kanak-kanak dan mendakwa seorang perempuan turut terbunuh.

“Dalam serangan bunuh diri oleh sukarelawan di Kandahar, Datuk Bandar Hameedi...dibunuh,” kata jurucakap Taliban, Qari Yosuf Ahmadi dalam pesanan ringkas kepada AFP.

Kandahar, bandar kediaman keluarga Karzai dan kawasan pertumpahan darah yang berlarutan sejak berdekad, menjadi kawasan panas berikutan permusuhan puak.
Penganalisis yang berpangkalan di Kandahar, Yunos Fakoor berkata Hameedi yang tinggal beberapa tahun di Amerika Syarikat sehingga memegang jawatan datuk bandar pada 2006, mempunyai reputasi memerangi rasuah di wilayah itu dan dan juga adalah sekutu penting Karzai. – AFP
Berita Harian Online | Sekutu Hamid Karzai dibom

No comments:

Post a Comment