Sunday, July 17, 2011

Rupert Murdoch mohon maaf


LONDON 16 Julai - Jutawan media, Rupert Murdoch membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini dalam akhbar Britain berhubung skandal penggodaman telefon oleh syarikat miliknya, ketika dua eksekutif utamanya meletakkan jawatan.

Bos The News Corp itu akhirnya menamatkan usaha untuk cuba melindungi bekas editorNews of the World, akhbar yang dilanda skandal itu dan menerima peletakan jawatan Ketua Eksekutif News International, Rebekah Brooks.

Beberapa jam selepas itu, Murdoch turut mengucapkan selamat jalan kepada Ketua Eksekutif jabatan Dow Jones beliau, Les Hinton yang juga bekas pengerusi News International.

Ketika Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memulakan siasatan berhubung tuduhan pekerja beliau di Amerika Syarikat menggodam telefon mangsa serangan 11 September, jutawan media berusia 80 tahun itu menukar strategi untuk menyelesaikan krisis tersebut.

Beliau yang sebelum ini tidak mahu bekerjasama telah membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tujuh akhbar kebangsaan Britain dengan satu muka surat penuh.

"Kami memohon maaf atas salah laku serius yang timbul. Kami amat-amat memohon maaf atas keperitan yang dialami mangsa yang terlibat dan kami menyesal kerana tidak bertindak pantas untuk menghentikannya," katanya dalam permohonan maaf itu.

Dalam usaha untuk menunjukkan kekesalan beliau, Murdoch turut menemui keluarga seorang remaja yang mati dibunuh, Milly Dowler mangsa penggodaman telefon oleh News of the Worldpada 2002, insiden yang mencetuskan krisis ini dan membawa kepada penutupan akhbar tersebut.

"Sebagai pengasas syarikat, saya sendiri terkejut dengan apa yang berlaku dan saya memohon maaf," katanya kepada sekumpulan wartawan selepas mengadakan satu mesyuarat, semalam. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment