Sunday, July 17, 2011

Yingluck dituduh rasuah mi pedas


PENYOKONG Yingluck membaca majalah memaparkan kisah pemimpin Puea Thai itu.
PENYOKONG Yingluck membaca majalah memaparkan kisah pemimpin Puea Thai itu.
Bakal PM Thailand hadapi aduan langgar syarat kempen pilihan raya, jadi proksi Thaksin

BANGKOK: Dua minggu selepas pilihan raya umum Thailand berakhir, bakal Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra mula menerima tekanan bagi memenuhi janji mengeluarkan belanja besar untuk rakyat tanpa merosakkan ekonomi negara atau memberi ruang kepada musuh abangnya, Thaksin, mencabar kepemimpinan beliau.
Dalam satu kempen pilihan raya sebelum ini, lensa kamera merakamkan Yingluck menyingsing lengan memasak hidangan mi pedas di sebuah pasar sambil dikelilingi penyokongnya yang lapar.
Peristiwa yang sengaja disiarkan untuk meningkatkan imej usahawan berusia 44 tahun itu, bagaimanapun, mencetuskan masalah apabila pembangkang menuduh beliau melanggar undang-undang melarang pemberian sebarang bentuk hadiah dan dalam kes Yingluck, ‘hadiah’ yang beliau beri ialah mi pedas.

Namun, Yingluck bernasib baik dan terselamat daripada kes itu apabila pemerhati pilihan raya memutuskan bahawa beliau hanya memasak mi berkenaan dan tidak menghidangkannya.

“Apa yang dihadapi Yingluck sekarang hanyalah permulaan. Beliau bakal berhadapan tekanan lebih besar dalam tempoh terdekat,” kata perunding risiko sebuah firma saham beribu pejabat di Singapura, Brittany Damora.

Pemerhati pilihan raya juga belum mengesahkan kemenangan Yingluck dan cabaran perundangan menimbulkan persoalan mengenai keputusan pilihan raya mungkin berubah.
Jika ini berlaku, berpuluh-puluh ribu penyokong beliau sudah pasti akan kembali mengadakan perhimpunan di jalan raya dan mencetuskan semula keadaan tidak stabil di negara itu.

Ketika Yingluck berdepan pelbagai dugaan, beliau juga terpaksa bertungkus-lumus menghapuskan tanggapan dirinya proksi Thaksin.

Parti Puea Thai pimpinan Yingluck mengadakan kempen besar-besaran menggunakan nama Thaksin dan dasarnya yang popular di kalangan rakyat luar bandar pada pilihan raya baru-baru ini.

Walaupun langkah ini membantu Yingluck memenangi pilihan raya, ia juga memberi kesan negatif kepada imej beliau.

Parti Demokrat yang disokong golongan elit dan tentera sudah membuat aduan perundangan menggesa Puea Thai dibubarkan atas dakwaan membenarkan tokoh politik yang diharamkan mengarahkan kempen, termasuk Thaksin.

Demokrat merujuk kepada slogan kempen Puea Thai, ‘Thaksin Berfikir, Puea Thai Bertindak’ sebagai bukti parti pimpinan Yingluck menggunakan nama ahli politik yang diharamkan bertanding itu. – Agensi
Berita Harian Online | Yingluck dituduh rasuah mi pedas

No comments:

Post a Comment