Friday, August 19, 2011

Dua beradik disimbah asid tidak sabar pulang beraya




ABDULLAH Abu Bakar (kanan) bertanya khabar dan berbual mengenai kesihatan Syaffiy Aiman Mat Safar Zaidi (empat dari kiri) dan Syafiq Haikal Mat Safar Zaidi (dua dari kiri) di Unit Kebakaran Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 18 Ogos - Dua beradik yang disimbah cuka getah dalam satu kejadian di Felda Jengka 9 dekat Maran pada 19 Julai lalu tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut kedatangan Aidilfitri.
Meskipun masih menanggung derita akibat kecederaan teruk di muka, Syafiq Haikal Mat Safa Zaidi, 13, tetap bersemangat untuk mengenakan baju Melayu berwarna hijau pada hari raya ini.
Katanya, memandangkan dia dan adiknya Syaffiy Aiman, 10, yang kini ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana cedera dalam kejadian itu tidak sempat membuat sebarang persiapan, dia berharap lukanya cepat sembuh bagi membolehkan mereka pulang.
"Saya tak sabar-sabar untuk pulang ke rumah. Saya nak jumpa kawan-kawan dan beli baju raya," katanya ketika ditemui di HKL di sini, hari ini.
Sebelum itu, Timbalan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Datuk Abdullah Abu Bakar menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada mereka.
Abdullah juga berkata, pihaknya akan membiayai kos rawatan kedua-dua mangsa sehingga mereka kembali pulih sepenuhnya.
Sementara itu, ibu mangsa, Rohashimah Julaili Mansor, 33, memberitahu, kedua-dua anaknya akan menjalani satu lagi pembedahan, Selasa ini.
"Sama ada mereka dapat dibenarkan pulang atau sebaliknya, ia bergantung kepada pembedahan itu," katanya.
Sebelum ini katanya, Syafiq Haikal seolah-olah mengamuk setiap kali teringat kejadian yang menimpanya manakala adiknya pula kelihatan masih trauma dan berubah menjadi pendiam.
"Lebih sedih lagi apabila mereka mula menyoal saya sama ada rakan-rakan mereka di sekolah akan menerima mereka atau sebaliknya kerana muka mereka tidak seperti dulu," katanya.
Dalam kejadian 19 Julai lalu, dua beradik itu mengalami kecederaan parah apabila disimbah cuka getah oleh seorang pekerja ladang ketika dalam perjalanan ke rumah kawan mereka di Felda Ketumbar Jengka 9. Lelaki itu bagaimanapun telah dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun.
Kejadian itu menyebabkan dua beradik itu cedera parah di muka, mata dan badan.-utusan

No comments:

Post a Comment