Monday, August 29, 2011

ExxonMobil tetap pilih SMC

Penjualan 65 peratus pegangan kepada firma di Filipina muktamad 

KUALA LUMPUR: Penjualan 65 peratus pegangan ExxonMobil International Holdings Inc (ExxonMobil) dalam Esso Malaysia Berhad (EMB) kepada San Miguel Corporation (SMC) yang berpangkalan di Filipina, sudah dimuktamadkan.
Naib Presiden Exxon Mobil Corporation yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Stafford T Kelly, berkata ExxonMobil serta SMC sudah memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA), dan permohonan mendapatkan kelulusan untuk transaksi berkenaan akan dikemukakan kepada kerajaan dalam waktu terdekat.
Beliau berkata, tawaran SMC paling menarik meliputi harga pembelian tertinggi berjumlah AS$610 juta (RM1.82 bilion) untuk pakej membeli perniagaan penapisan, bekalan serta pemasaran bahan api secara keseluruhan, iaitu syarikat operasi EMB, ExxonMobil Malaysia Sdn Bhd (EMMSB) dan ExxonMobil Borneo Sdn Bhd (EMBSB), terma dan syarat kontrak lebih baik, dan akan mengekalkan semua kakitangan sedia ada selain merancang mengambil lebih ramai pekerja baru.

“Hanya SMC mengemukakan rancangan melabur dan mengendalikan Loji Penapisan Port Dickson untuk jangka panjang, berbanding rancangan pihak lain untuk menutupnya apabila peraturan bahan bakar bersih yang baru dikuatkuasakan,” katanya pada sidang media menerusi telefon dari Amerika Syarikat di sini, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) masih berminat mengambil alih 65 peratus ekuiti dalam EMB dan dikatakan akan membuat tawarannya kepada ExxonMobil dalam waktu terdekat dengan harga sekitar RM5.20 sesaham atau nilai keseluruhan hampir RM1 bilion.

Sambil menjelaskan tiada menerima tawaran RM5.20 sesaham daripada LTAT, Kelly berkata, ExxonMobil melakukan proses secara terbuka serta adil, dan sudah memaklumkan kepada semua pihak berminat bahawa hanya tawaran bagi pakej keseluruhan (EMB, EMMSB dan EMBSB) akan dilayan.
Dalam konteks ini, beliau berkata, sebanyak 20 syarikat berminat terpilih, termasuk tujuh syarikat tempatan, termasuk LTAT, tetapi peringkat mengemukakan tawaran terakhir hanya membabitkan SMC dan dua lagi syarikat tempatan, namun maklumat lanjut tidak boleh diberikan kerana adalah sulit.

“Pihak kami sudah bercakap dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan (Datuk Seri Najib Razak), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Datuk Seri Mustapa Mohamed) serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob). Setakat ini, perbincangan dan maklum balas diterima adalah sangat baik,” katanya sambil menafikan keputusan dibuat ada dipengaruhi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu pada sesi sidang media menerusi telefon seterusnya dengan Ahli Lembaga SMC, Eric Recto, pula berkata pihaknya amat gembira untuk meneroka peluang pelaburan yang lebih luas di Malaysia dan bersedia untuk menghadapi persaingan sihat dalam industri bahan api di negara ini. bharian

No comments:

Post a Comment