Monday, August 29, 2011

Syahdu lebaran Jamal, Radhi





RAYA tahun ini cukup syahdu buat Radhi OAG apabila kali pertama meraikan hari lebaran jauh dari kampung halamannya dan keluarga.Semuanya gara-gara najis dadah yang menyebabkan kehidupan bahagia Radhi atau nama sebenarnya Mohd. Radhi Razali, 34, berkecai dan kini Radhi sedang dalam proses pemulihan di Pusat Rawatan dan Pemulihan Dadah, Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di Kuala Lumpur.
Namun, hari rayanya tidak sunyi kerana dia ditemani oleh keluarganya dan juga anak tunggalnya, Mohd. Rifdhi Muslim, 6, hasil perkongsian hidup bersama bekas isterinya Shazlin Sharif yang akan melawatnya di Pengasih pada hari raya pertama.
“Dulu saya hidup dengan dunia saya sahaja, tetapi bila saya tinggal di Pengasih, banyak benda yang saya belajar terutama baru saya tahu yang keluarga sangat sayangkan saya. Alhamdulilah, raya kali ini, keluarga akan datang melawat saya bersama Rifdhi, biasanya saya melawat mereka tetapi sekarang keluarga pula akan datang menjenguk saya.
“Tetapi dalam masa yang sama saya bersyukur selepas saya menerima rawatan di Pengasih puasa dan raya saya lebih bermakna kerana saya lebih fokus dalam menjalani ibadah puasa berbanding sebelum ini. Syukur sangat-sangat kerana Allah sayangkan saya dan beri saya jalan untuk berubah,” katanya yang ditemui pada majlis buka puasa Pengasih.
Namun, jauh di sudut hati, Radhi tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya kerana tidak dapat meraikan lebaran seperti mana orang lain yang meraikannya di kampung halamannya di Kuching, Sarawak bersama keluarga dan sanak-saudara.
“Sedih memang sedih, saya tidak dapat nafikannya. Tetapi saya harus kuatkan diri supaya saya tidak terus hancurkan diri saya sendiri, saya cuba perbaiki diri untuk menjadi anak, ayah dan juga insan yang lebih baik daripada sebelum ini untuk diri sendiri, keluarga, anak dan peminat,” katanya yang telah tinggal di Pengasih selama tujuh bulan.
Sungguhpun Radhi masih menjalani rawatan pemulihan dadah, persiapan raya tidak dilupakan terutamanya buat anak tunggalnya. Kata Radhi persiapan untuknya hanya biasa-biasa sahaja tetapi tidak untuk anaknya.
“Tahun ini peruntukan serta persiapan raya lebih tertumpu kepada anak kerana itu sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai ayahnya, manakala untuk saya biasa-biasa sahaja kerana sekarang ini saya belum boleh bekerja, jadi pendapatan agak terhad, saya pakai apa yang ada,” balasnya yang terjerumus ke kancah dadah selama 10 tahun.
Wanita di hati Radhi
Selepas sah bercerai dengan bekas isterinya pada Jun tahun lalu, Radhi berazam memperbaiki dirinya kerana beranggapan masalah dadah yang dihadapinya antara punca segala masalah yang berlaku dalam kehidupannya pada masa lalu.
Tidak menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku sebaliknya meletakkan segala kesalahan di bahu sendiri, tegas Radhi selepas ini dia mahu menjadi lelaki yang lebih matang dan bertanggungjawab terhadap keluarga.
“Saya akui sebelum ini saya banyak mengabaikan tanggungjawab dan keluarga, jadi selepas ini saya mahu jadi ketua keluarga yang bertanggungjawab,” ujarnya.
JAMAL ABDILLAH dan Radhi berhari raya di Pengasih bersama para penghuni lain pusat pemulihan tersebut.


Apabila dirisik sudahkah hatinya dimiliki, sambil tersipu-sipu malu, Radhi menjelaskan dia kini dalam proses mengenali hati budi seorang gadis yang jauh lebih muda daripadanya. Malah, Radhi enggan melabel gadis itu sebagai teman wanita sebaliknya hanya sebagai sahabat wanita istimewa.
“Dia berumur 17 tahun, masih bersekolah, sebab itu saya tidak mahu menggembar-gemburkan kisah peribadi. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, kerana jodoh pertemuan terletak di tangan Allah bukannya saya,” tuturnya.
Luahnya lagi membuka rahsia, selain keluarga dan anak tunggal, gadis yang mencuri hatinya itu merupakan antara penyebab utama dia berazam untuk memperbaiki diri dan dengan rela hati mendaftar di Pengasih.
“Saya mahu jika saya berkahwin sekali lagi, saya ingin rumah tangga itu disulam dengan akidah yang betul, jadi sebelum itu saya harus perbetulkan diri saya sendiri sebelum saya boleh memimpin orang lain,” katanya.yang mengakui gadis itu turut hadir dalam majlis buka puasa tersebut, bagaimanapun Radhi enggan memberitahu secara terperinci perihal gadis itu.
Tahun kelima Jamal beraya di Pengasih
Jika Radhi masih ada rasa sedih dan terkilan kerana tahun ini merupakan tahun pertamanya meraikan lebaran di Pengasih, tetapi tidak buat juara Bintang RTM 1979, Jamal Abdillah yang mana tahun ini merupakan tahun kelimanya meraikan Syawal di Pengasih.
Bukan tidak mahu pulang ke kampung halamannya di Gunung Rapat, Perak, tetapi disebabkan tuntutan kerja pada hari raya pertama di Kuala Lumpur menyebabkan dia lebih selesa menyambut lebaran di Pengasih.
“Saya mahu buat macam mana, bila rezeki selama lima tahun datang pada hari raya pertama sehingga ketiga raya. Tetapi biasanya pada sebelah petang apabila saya ada kelapangan saya akan pulang menemui anak-anak saya di kampung untuk menghabiskan masa bersama dan menikmati hari raya macam orang lain,” katanya.
Sebagai bapa kepada dua cahaya mata, Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani, terpalit rasa bersalahnya apabila tidak dapat meraikan sepenuhnya lebaran bersama mereka. Namun, kata Jamal, sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai penghibur untuk menghiburkan orang lain.
“Saya tidak kisah meraikan lebaran secara sederhana dan perlu bekerja pada hari raya pertama tetapi anak-anak sudah pasti perasaan mereka lain kerana hari raya satu hari yang sangat dinanti-nantikan mereka, sebab itu saya sedaya upaya menyiapkan segala persiapan selengkap mungkin untuk mereka.
“Selepas saya habis kerja, saya akan bawa mereka balik kampung atau melawat saudara-mara. Kampung saya pun sudah tidak ada ahli keluarga saya, yang tinggal hanyalah ibu tiri,” tuturnya.
Konsert di Singapura
Menjalani kehidupan biasa dan memiliki dua bisnes atas nama sendiri, Bintang Channel yang dikhaskan untuk acara seni manakala Pro Channel untuk dagangan dan pengedaran keperluan perubatan dan alat tulis, kehidupan peribadi Jamal kini boleh dianggap stabil tanpa pengaruh dadah.
Namun begitu, Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali masih setia tinggal di Pengasih kerana Pengasih ibarat rumahnya yang pertama. Bukan tidak mahu berpindah, namun hatinya cukup berat untuk meninggalkan Pengasih.
Selepas dirinya berjaya dipulihkan daripada dadah di Pengasih, Jamal rasa bertanggungjawab untuk membantu dan menyumbangkan tenaga membantu mereka yang sama nasib dengannya di Pengasih.
“Bila saya lihat penghuni baru yang datang ke Pengasih, saya lihat diri saya dalam mereka pada waktu mula-mula saya di Pengasih. Saya juga seperti mereka dan selepas saya berjaya pulih saya mahu memberi sumbangan tidak kira dalam bentuk apa sekali pun untuk sama-sama membantu Pengasih,” ujarnya.
ANAK bapa. Radhi mencium permata hatinya, Rifdhi.


Mungkin tahun ini merupakan tahun terakhir Jamal menginap di Pengasih kerana menurutnya dia sedang menunggu rumah baru yang dibelinya siap.
“Saya ada beli rumah dan hujung tahun ini mungkin ia akan siap sepenuhnya, jadi saya akan berpindah di sana bersama anak-anak. Tetapi bukan bermaksud saya sudah tidak menginap di Pengasih atau saya tinggalkan Pengasih.
“Saya masih akan membantu Pengasih seperti biasa kerana sukar bagi saya untuk tinggalkan Pengasih kerana semua orang di Pengasih sudah menjadi keluarga saya. Jadi saya harus meneruskan tanggungjawab saya membantu memulihkan dan memberi motivasi kepada penghuni Pengasih yang lain,” balasnya.
Mengenai perkembangan terbarunya, Jamal memberitahu, pada 24 September depan dia bakal mengadakan konsert solo terbesar pertamanya yang diberi nama Akustik Kasih di Indoor Stadium, Singapura.
“Sekarang ini saya memang tengah sibuk dengan latihan dan persiapan untuk konsert Akustik Kasih. Berdebar pun ada juga kerana ini konsert terbesar pertama saya di Singapura,” ucapnya.

No comments:

Post a Comment