Monday, August 29, 2011

Tony Tan Presiden baru Singapura




BEKAS Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tony Tan berucap pada satu sidang media selepas kemenangannya dalam pilihan raya presiden kelmarin.


SINGAPURA – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tony Tan dipilih sebagai Presiden Singapura yang ketujuh selepas beliau menang tipis dalam pilihan raya presiden kali ini.
Tan dikaitkan dengan parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP) kerana beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negara yang pernah dipegangnya seperti Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.
Ketua Jabatan Pilihan Raya, Yam Ah Mee semasa mengumumkan keputusan pilihan raya itu lewat kelmarin memberitahu, Tan, 71, menerima 35 peratus daripada kira-kira 2.1 juta undi keseluruhan. Ini sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya, Tan Cheng Bock yang merupakan bekas ahli Parlimen dengan kelebihan cuma 7,269 undi.
Menurut pegawai pilihan raya berkenaan, seorang lagi calon, Tan Jee Say memperoleh 25 peratus undi. Calon keempat dan terakhir, Tan Kin Lian pula sekadar memperoleh lima peratus undi.
Pengumuman keputusan pilihan raya itu terpaksa ditangguhkan selama beberapa jam kelmarin apabila pegawai-pegawai pilihan raya diminta mengira semula kertas undi berikutan persaingan yang begitu sengit antara Tan dan Cheng Bock.
Pilihan raya tersebut dilihat oleh ramai penganalisis politik sebagai isyarat bahawa pengaruh PAP semakin pudar dalam kalangan rakyat.
Tan hanya memperoleh 35 peratus undi dalam pilihan raya berkenaan, jauh merosot berbanding 60 peratus undi yang diperoleh PAP pada pilihan raya umum Mei lalu.
Pilihan raya umum tersebut turut mempamerkan prestasi terburuk PAP sejak 52 tahun memerintah Singapura.
Seorang pakar ekonomi yang berpangkalan di Singapura, Song Seng Wun berkata, keputusan pilihan raya kali ini yang diadakan untuk memilih ketua negara Singapura itu terus menunjukkan dominasi kuasa yang dimiliki PAP selama ini semakin terhakis.
“PAP tidak sekuat seperti empat dekad lalu,” kata Seng Wun.
“Hanya seorang daripada tiga pengundi memilih Tan yang dikait rapat dengan PAP. Dua daripada tiga pengundi memilih calon lain. Ini adalah isyarat yang jelas,” tambahnya.
Seorang pembaca pula menulis dalam sebuah forum Internet bahawa Tan “sepatutnya malu kerana cuma mendapat 35 peratus undi”.
Malah, beberapa penganalisis politik turut menyatakan bahawa Tan akan tewas sekiranya pilihan raya presiden kali ini menampilkan pertandingan satu lawan satu.
Selepas kemenangannya, Tan segera merayu kepada pengundi yang tidak memilihnya.
“Presiden Singapura adalah Presiden kepada semua rakyat Singapura, bukan hanya untuk mereka yang memilih saya atau untuk mereka yang tidak memilih saya,” kata pemimpin veteran itu selepas kemenangannya diumumkan.
“Saya akan bekerja sedaya upaya demi kebaikan rakyat Singapura tanpa mengambil kira fahaman politik mereka,” tambahnya
Beliau dijadual mengangkat sumpah sebagai Presiden Singapura yang ketujuh pada 1 September depan.
Presiden Singapura yang dipilih setiap enam tahun memiliki kuasa veto untuk menolak pelantikan penting dalam pentadbiran negara di samping menjaga simpanan luar Singapura yang kini berjumlah sekitar AS$250 bilion (RM746.2 bilion).
– Agensi

No comments:

Post a Comment