Tuesday, August 23, 2011

Hanya bantu keldai dadah tertipu, dianiaya

BALING 22 Ogos - Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) hanya akan membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang dianiaya dan ditipu lalu dijadikan keldai dadah oleh sindiket dadah di luar negara.
Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya tidak akan melayan mereka yang sengaja mahu menjadi pembawa dadah ke luar negara kemudian ditangkap lalu meminta bantuan kelab itu untuk dibebaskan.
"Kita tidak akan layan mereka yang menjadikan aktiviti keldai dadah sebagai sumber rezeki kemudian ditangkap dan meminta kita pula membantu," katanya ketika ditemui media selepas menyerahkan sumbangan kuih raya kepada pesakit Hospital Baling (HB) di sini hari ini.
Abdul Azeez berkata, bukan sahaja di Peru, malahan masih ramai rakyat Malaysia kini ditahan sebagai keldai dadah di negara-negara tertentu yang memohon bantuan pihaknya untuk dibawa balik ke tanah air.
Tambahnya, terdapat kira-kira 1,800 mangsa keldai dadah masih berada di negara seperti Argentina, China, Jepun dan negara-negara maju.
Justeru, katanya, kelab itu akan meneliti dan mengkaji terlebih dahulu latar belakang rakyat Malaysia yang dijadikan keldai dadah untuk mengetahui sama ada mereka benar-benar perlu dibantu ataupun tidak.
Katanya, mereka yang dianiaya seperti ditipu dengan tawaran percutian dan tawaran lain termasuk melibatkan orang kelainan upaya (OKU).
"Kita akan selidiki terlebih dahulu sebelum bertanggungjawab membawa pulang mereka ke tanah air kerana hanya mereka teraniaya sahaja akan dibantu termasuk dari segi perundangan," katanya sambil menambah KP1M mempunyai kira-kira 63 peguam bersedia membantu sekiranya khidmat mereka diperlukan.
Sementara itu, Kelab Putera 1Malaysia akan menyediakan 11 buah ambulans untuk diletakkan di kawasan-kawasan panas yang kerap berlaku nahas jalan raya di seluruh negara mulai 26 Ogos ini.
Abdul Azeez memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan perkhidmatan ambulans berkenaan di Kuala Lumpur pada 28 Ogos ini.
"Ambulans ini akan diletakkan di kawasan kemalangan di lebuh raya seperti di Pagoh, Pekan, berhampiran Tol Sungai Buluh dan beberapa lokasi di jalan persekutuan serta Butterworth Kulim Expressway (BKE)," katanya.
Jelasnya, setiap ambulans dilengkapi dengan sepasukan paramedik dan seorang doktor sukarelawan bagi membantu pengguna jalan raya jika berlaku nahas jalan raya sepanjang tempoh musim perayaan.
Abdul Azeez yang juga Ketua UMNO Bahagian Baling berkata, perkhidmatan ambulans itu juga disediakan untuk tempoh 24 jam setiap hari.utusan

No comments:

Post a Comment