Tuesday, August 23, 2011

Keterangan Anwar cerita tanpa sumpah


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim mengejutkan Mahkamah Tinggi di sini semalam apabila memilih untuk membela diri daripada tuduhan liwat terhadap Mohd. Saiful Bukhari Azlan di dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah sekaligus menutup peluang pihak pendakwaan untuk menyoal balas.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md. Diah sebelum itu menawarkan tiga pilihan kepada Anwar sama ada memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi dan pihak pendakwaan boleh menyoal balas; atau beri keterangan di dalam kandang tertuduh tanpa disoal balas pihak pendakwaan atau berdiam diri.
Anwar memilih pilihan kedua kerana merasakan tiada keadilan terhadapnya sepanjang perbicaraan kes.
Sejurus Anwar selesai membacakan teks keterangan bela diri sebanyak 32 muka surat, Peguam Cara Negara 11, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden terkejut dengan tindakan Penasihat PKR itu.
"Saya terkejut sebab ini kali pertama saya mendengar tertuduh memberi keterangan bela diri sebegini," katanya.
Teks keterangan bela diri Anwar pada awalnya menceritakan pengalaman tentang perbicaraan liwat pada 1998 yang mana dia didapati bersalah dan dipenjara 15 tahun.
Terdahulu, Anwar dalam keterangannya mendakwa satu imaginasi yang hebat diperlukan sekiranya benar dia akan menggunakan kekerasan terhadap bekas pembantunya itu.
Anwar merujuk kepada keadaan dirinya yang sudah berusia dan mempunyai masalah kesihatan berbanding Mohd. Saiful.
Tertuduh yang berkali-kali menafikan meliwat Mohd. Saiful berkata, pengadu mempunyai banyak peluang untuk lari.
"Di sini kita melihat seorang lelaki muda berusia awal 20-an, berketinggian enam kaki (1.8 meter), sihat secara fizikal, dan mempunyai hubungan rapat dengan pihak atasan polis serta ahli politik yang berkuasa.
"Sedangkan saya seorang lelaki tua berusia 60 tahun, mempunyai sejarah penyakit tulang belakang dan tidak mempunyai kuasa," katanya dalam bahasa Inggeris.
Selain itu, Anwar juga menggambarkan reaksi Mohd. Saiful selepas kejadian sebagai tidak logik apabila tidak menunjukkan rasa trauma.
"Tiada cubaan untuk mendapatkan laporan perubatan dan membuat laporan polis, kelakuan itu ternyata tidak konsisten selepas dikasari (liwat) sebaliknya dua hari kemudian dia bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya serta bercakap di telefon dengan Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan," katanya.
Pada 16 Mei lalu, Anwar, 64, diarah membela diri atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful, 26, tanpa kerelaan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di sini di antara pukul 3.10 dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan Anwar boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Perbicaraan bersambung hari ini.kosmo

No comments:

Post a Comment