Saturday, September 3, 2011

Dapat RM5,000 sehari



JERTIH - Kedatangan Ramadan yang baru berlalu bukan sahaja memberi rezeki kepada peniaga juadah berbuka puasa malah menjadi bulan ‘durian runtuh’ kepada peniaga pakaian dan kuih-muih untuk Aidilfitri.

Perniagaan mereka akan mendapat sambutan berlipat kali ganda berbanding hari biasa, manakala yang ingin mencuba juga tidak terlepas menikmati rezeki ini.

Menyedari peluang keemasan itu hanya datang setahun sekali, belia di daerah ini turut bertindak bijak mencari wang hingga mencecah puluhan ribu ringgit di bazar Aidilfitri di sini dalam tempoh sebulan.

Bagi Wan Mohd Faizul Asraf Wan Mamat, 22, masa yang ada adalah lebih baik jika dimanfaatkan dengan berniaga di bazar Aidilfitri.

Menurut Wan Mohd Faizul Asraf, dia memilih untuk berniaga pakaian sejak tiga tahun lalu kerana mendapat sambutan hebat menjelang hari raya.

“Tahun ini saya menyewa empat ruang khemah (lot) untuk menjual pakaian di lokasi berbeza di bandar Jertih iaitu tiga di depan Up Town Pasaraya Econjaya dan satu di Dataran Jertih Souq, saya memperoleh pendapatan kasar bagi keempat-empat lot kedai tersebut RM5,000 sehari,” katanya.

Keuntungan jadi pembakar semangat

Wan Mohd Faizul Asraf berkata, keuntungan diperoleh dalam perniagaan pada Ramadan dua tahun lalu membakar semangatnya untuk menyewa lebih banyak gerai.

Menurutnya, pada peringkat awal Ramadan, sambutan pelanggan agak berkurangan, malah ada kalanya tidak banyak pakaian dijual.

Bagaimanapun dua minggu sebelum hari raya, semakin ramai pelanggan yang membeli dan meningkat dari hari ke hari sehinggalah hari terakhir puasa.

“Hari terakhir Ramadan adalah paling menyeronokkan kepada ribuan orang ramai khususnya perantau yang pulang ke kampung akan ‘menyerbu’ bazar Aidilfitri untuk membeli-belah dan barangan yang dijual akan jadi seperti ‘pisang panas,” katanya.

Dia yang mempunyai lapan pekerja terdiri daripada remaja setempat amat meminati bidang perniagaan walaupun pada hari biasa dia membantu berniaga di kedai makan bapanya di Medan Selera Jertih.

Katanya, bekalan pakaian terutama baju Melayu diperoleh di Kuala Lumpur, manakala seluar lelaki dan pakaian lain dibeli sendiri di China.

Menurutnya, belia patut mengambil peluang menjual pelbagai jenis produk untuk hari raya termasuk kuih-muih, perhiasan rumah dan pelbagai lagi.

Jual 31 jenis biskut raya

Sementara itu Mohd Fairuz Shaari, 24, berkata, tugas sebagai anggota keselamatan tidak menghalang dia menjalankan perniagaan menjual pelbagai biskut di bazar Aidilfitri di sini.

Anak jati Keluang, Johor itu merebut peluang mencuba nasib berniaga lebih 31 jenis biskut raya di lokasi tersebut buat kali pertama tahun ini.

“Sebelum ini saya menjalankan perniagaan sambilan ketika musim perayaan di Johor, tetapi setelah bertugas di negeri ini saya ini mencuba berniaga barangan sama di sini pula.

“Perniagaan ini tidak mengganggu tugas saya kerana saya mempunyai beberapa pekerja yang menjaga dan menguruskan kedai itu,” katanya.

Menurutnya, dia mula menceburi bidang perniagaan apabila membantu rakannya menyewa separuh daripada satu khemah dengan kadar sewa lebih RM1,000 untuk tempoh tersebut.

Ternyata usahanya mencuba nasib berniaga di bumi Besut Ulul Albab ini tidak sia-sia apabila dia memperoleh pendapatan kasar sebanyak kira-kira RM27,000 sepanjang berniaga di bulan puasa.

“Beberapa hari terakhir menjelang Aidilfitri paling seronok berniaga apabila kedai saya diserbu orang ramai yang ingin membeli biskut dan kuih pada saat akhir,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment