Saturday, September 3, 2011

Noda tampilkan Kabinet muda



Renho


TOKYO 2 Sept. – Perdana Menteri baru Jepun, Yoshihiko Noda mengumumkan barisan Kabinet pertamanya hari ini, sebelum memulakan usaha untuk menyatukan partinya yang berpecah-belah dan memantapkan program pemulihan berikutan gempa bumi dan tsunami pada awal tahun ini.
Noda, Perdana Menteri keenam Jepun dalam tempoh lima tahun, memberikan jawatan-jawatan Menteri Luar dan Kewangan kepada ahli Parlimen berusia lewat 40-an, dianggap muda dalam politik negara ini bagi portfolio sedemikian.
Paling muda ialah Goshi Hosono, 40, berperanan sebagai Menteri Alam Sekitar yang bertanggungjawab menyelesaikan krisis loji nuklear Fukushima.
Kabinet Noda menampilkan dua wanita iaitu Renho, 43, yang menggunakan hanya satu nama sebagai Menteri Pemerkasaan Kerajaan dan bekas tonggak stesen NHK, Yoko Komiyama, 62, sebagai Menteri Kesihatan.
Jun Azumi, 49, dilantik ke jawatan Menteri Kewangan sementara Koichiro Gemba, 47, menjadi Menteri Luar.
Azumi yang berasal dari Miyagi, wilayah timur laut yang musnah dilanda gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu, pernah bekerja sebagai wartawan stesen NHK sebelum melancarkan kerjaya politiknya.
Beliau menjadi ketua hal-ehwal Parlimen Parti Demokrat di bawah Perdana Menteri sebelum ini, Naoto Kan.
Sebagai Menteri Kewangan, jawatan pertamanya dalam Kabinet, Azumi menghadapi tugas sukar untuk melindungi ekonomi Jepun daripada kesan mata wang yen yang kukuh dan menangani hutang awam yang makin meningkat apabila penduduk yang semakin tua menyebabkan kos keselamatan sosial bertambah.
Menteri Luar baru, Gemba ialah Menteri yang bertanggungjawab terhadap dasar negara dalam Kabinet sebelum ini.
Yoshio Hachiro, 63, dilantik sebagai Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Noda dipilih sebagai Perdana Menteri pada Selasa lalu, untuk mewarisi cabaran getir bagi melaksanakan program pemulihan selepas bencana, menamatkan krisis nuklear, mengatasi kesan lonjakan nilai yen dan menyelesaikan masalah hutang awam yang menimbun.
Kan meletakkan jawatan selepas 14 bulan menjadi Perdana Menteri, ekoran kritikan hebat kerana kerajaan beliau gagal mengendalikan proses pemulihan selepas bencana dan mengatasi krisis nuklear yang berlarutan. – AFP

No comments:

Post a Comment