Saturday, September 3, 2011

Jenazah Noramfaizul Dikebumi Di Tanah Perkuburan Islam UPM, Ahad

SEBAK ... Naemah Abdul Majid menutup wajahnya tidak dapat menahan perasaan tatkala melihat gambar terakhir anaknya Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor beberapa jam sebelum maut terkena tembakan curi ketika ditemui di kediaman keluarga arwah di Kuala Lumpur, Sabtu. Jurukamera Bernama TV itu maut dalam Misi Kemanusiaan ke Somalia bersama Kelab Putra 1Malaysia semalam. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Somalia, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini, Ahad.
Naib Presiden Kelab Putera 1Malaysia Rahman Rahim, yang mewakili keluarga arwah, berkata jenazah akan dikebumikan sebelum Zohor, bergantung kepada keadaan.
Beliau berkata sejurus tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, jenazah akan dimandi, dikapan dan disolatkan di Masjid TUDM sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya.
Rahman memberitahu pemberita jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid Al-Islah berhampiran rumah ibu bapa Allahyarham untuk disolatkan.
Jenazah dibawa pulang ke Malaysia pada Sabtu menaiki pesawat C-130 TUDM bersama anggota misi lain, dan dijangka tiba di Pangkalan TUDM kira-kira 9 pagi Ahad.
"Segala urusan daripada segi pengangkutan disediakan oleh pihak kami (Kelab Putera 1Malaysia) kepada kaum keluarga arwah, bermula di Subang sehingga disemadikan," kata Rahman.
Noramfaizul, 39, meninggalkan isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki -- Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.
Kejadian 5.40 petang waktu tempatan (pukul 10.40 waktu Malaysia), menyaksikan kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Noramfaizul dan petugas media Malaysia lain, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.
Allahyarham Noramfaizul merupakan sebahagian daripada 55 anggota sukarelawan yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment