Saturday, September 3, 2011

MB Kedah tak cadang berhenti


pix_gal0
Azizan nafi laporan Presiden PAS bertemu Sultan bincang pengganti

ALOR SETAR: “Saya tak minta jadi Menteri Besar, mereka yang suruh... nak berhenti pun berhentilah, esok pun tak apa,” kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengulas laporan diminta berundur atas alasan kesihatan.
Bagaimanapun beliau menafikan didesak meletakkan jawatan berikutan kesihatannya yang dikatakan menjejaskan pentadbiran dan kepemimpinannya ketika ini.
“Orang yang buat cerita ni tak tengok saya sendiri tapi buat cerita kata saya tak sihat. Saya jemput dia datang tengok Ahad ini, saya buat rumah terbuka jemput datang dan tengok sendiri,” katanya ditemui ketika melawat jenazah Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Abdul Rahman Ahmad yang meninggal dunia akibat serangan jantung, petang kelmarin.

Beliau yang memulakan tugasan luar selepas bercuti lebih sebulan bermula 15 Julai hingga 29 Ogos lalu, berkata, soal desakan meletak jawatan ketika ini tidak timbul, namun sentiasa bersedia meninggalkan jawatan sebagai Menteri Besar pada bila-bila masa jika ada keperluan.

“Presiden (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang memang selalu jumpa saya dan kami juga sering berhubung lebih-lebih lagi dalam keadaan saya yang sakit sebelum ini. Beliau bukan macam orang lain nak jumpa kena ada sambutan... berkompang dan sebagainya, bila dia nak jumpa saya dia jumpa,” katanya.

Azizan mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, kepemimpinan PAS bercadang menggantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah kerana kesihatan semakin buruk selepas dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung, bulan lalu.
Menurut akhbar itu, Abdul Hadi dikatakan akan menghadap Sultan Kedah berhubung peralihan kepemimpinan kerajaan negeri itu.

Azizan berkata, beliau menghadap Sultan Kedah seminggu sekali, setiap Rabu pagi untuk berbincang perkara berkaitan pentadbiran negeri.

“Saya ada dipanggil menghadap Sultan sebelum raya lalu tetapi perbincangan kami tidak pula berkaitan dengan isu (letak jawatan). Tuanku banyak bertanya pada saya mengenai perkara lazim berkaitan pentadbiran negeri Kedah... yang lain tidak ada.

“Saya sambung cuti hingga Aidilfitri tetapi masih di sini dan hanya buat kerja pejabat. Doktor nasihat saya jangan buat aktiviti luar dulu, sebab itu sepanjang Ramadan orang tak nampak saya di luar,” katanya.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob, berkata beliau terkejut dengan laporan akhbar itu kerana perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan atau ditimbulkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PAS Pusat.

“Ini satu lagi helah dan politik murahan. Saya tidak faham bagaimana laporan ini boleh keluar dan dari mana mereka mendapat sumber ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Laporan itu juga memetik sumber, tiga EXCO disebut-sebut bakal mengisi tempat Azizan iaitu Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundor), Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) dan Datuk Mohamad Taulan Mat Rasul (Tokai).

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata pimpinan PAS tidak pernah berbincang mengenai perkara ini (menggantikan Azizan). Malah, ketika Tok Guru, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat masuk hospital pun tidak pernah dibincang mengenai pertukaran atau jawatan pemangku.

“Azizan sudah sihat dan kembali bertugas. Jadi tiada keperluan atau sebarang asas untuk menukar atau menggantikannya,” katanya. 

No comments:

Post a Comment