Sunday, September 25, 2011

Hudud boleh dilaksana jika isu perundangan diselesaikan

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Hukum hudud tidak boleh dilaksanakan ketika ini kerana ia tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ini kerana hukum hudud merupakan sebahagian daripada undang-undang Jenayah Syariah yang sudah pun wujud dalam Perlembagaan biarpun kuasa pelaksanaan hudud tertakluk di bawah bidang kuasa negeri.
Justeru, katanya, pelbagai konflik bakal timbul membabitkan isu perundangan terutama dari segi hukuman jika undang-undang hudud dilaksanakan serentak dengan undang-undang jenayah syariah.
‘‘Hukum hudud sama dengan undang-undang jenayah syariah seperti hukuman membunuh, mencuri, atau minum arak sedangkan undang-undang itu sudah ada dalam undang-undang persekutuan.
‘‘Sebagai contoh, kalau seseorang itu ditangkap kerana mencuri di Kelantan, adakah dia akan dihukum di bawah undang-undang hudud atau di bawah kanun keseksaan yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah. Jadi undang-undang mana mahu dipakai?,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment