Sunday, September 25, 2011

Iktiraf Palestin - Abbas



NEW YORK 24 Sept. - Presiden Mahmoud Abbas menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka, selain mengiktirafnya menjadi negara anggota ke-194 badan dunia itu.
Untuk tujuan itu, pihaknya telah menyerahkan permohonan kepada PBB berasaskan garis sempadan yang wujud sebelum Perang Enam Hari 1967 dengan Baitulmuqaddis diisytihar sebagai ibu negara Palestin.
Jelasnya, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut digesa mempercepatkan penyerahan permohonan Palestin itu kepada Majlis Keselamatan PBB.
''Atas dasar itu, saya meminta negara anggota dalam majlis berkenaan untuk mengundi dan menyokong hasrat Palestin ini.
''Di sini juga saya mengumumkan bahawa Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) bersedia kembali berunding berdasarkan terma-terma yang dipersetujui, selain aktiviti penempatan haram (Yahudi) dihentikan,'' katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA), semalam.
Abbas berkata, usaha Palestin dalam mendapatkan pengiktirafan sebagai sebuah negara bukan bertujuan untuk mengetepikan Israel tetapi ia demi keadilan bagi rakyat Palestin.
''Kami hanya mahu menyelesaikan isu penempatan haram, penjajahan dan aparteid serta tindakan kekerasan oleh Israel.
''Oleh yang demikian, kami percaya semua negara akan menyokong Palestin berhubung hasrat kami itu,'' tambahnya. - AFP

No comments:

Post a Comment