Friday, November 4, 2011

2.5 juta jemaah berhimpun di Tanah Suci





2011/11/04

JEMAAH haji berehat   selepas solat Maghrib di Makkah, semalam.
JEMAAH haji berehat selepas solat Maghrib di Makkah, semalam.
Arab Saudi gerak 100,000 anggota keselamatan pastikan kelancaran 

MAKKAH: Lebih 2.5 juta umat Islam kini berhimpun untuk menunaikan ibadat haji, perhimpunan tahunan terbesar, mendorong pihak berkuasa Arab Saudi berdepan cabaran keselamatan dan kesejahteraan jemaah.
Pihak berkuasa Arab Saudi menggerakkan kira-kira 100,000 kakitangan keselamatan dan pertahanan sivil bagi memastikan kelicinan perjalanan dan mengelakkan kejadian mengancam nyawa yang mencemarkan ibadat itu pada masa lalu.
“Kami akan menggunakan semua cara untuk menghalang sebarang kecederaan ke atas mana-mana jemaah atau kumpulan jemaah,” kata Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Nayef bin Abdul Aziz, yang baru-baru ini menjadi Putera Mahkota negara itu. 

Ibadat haji bermula hari ini dan mencapai kemuncak esok apabila semua jemaah berhimpun di Arafah di luar Makkah dan berakhir dengan Aidiladha, yang akan dirayakan pada hari Ahad. 

Kira-kira 1.7 juta umat Islam dijangka mengunjungi Makkah dari seluruh dunia manakala antara 700,000 dan 800,000 jemaah adalah rakyat tempatan. 

Usaha menangani perhimpunan terbesar dunia memberikan ancaman keselamatan kepada Arab Saudi, penjaga kepada dua tempat paling mulia dalam Islam iaitu Makkah dan Madinah, tempat lahir Islam. 
Negara kaya minyak itu melabur berbilion dolar sejak bertahun-tahun untuk mengelakkan kejadian bersesak-sesak yang mencemarkan ibadat itu pada masa lalu. 

Pada Januari 2006, 364 jemaah haji maut dalam kejadian itu di pintu masuk jambatan yang menuju ke arah kawasan melontar di Mina, di luar Makkah manakala 251 mati terpijak pada tahun 2004. 

Pada Julai 1990, 1,426 jemaah dipijak atau lemas sehingga mati dalam kejadian bersesak-sesak dalam terowong, juga di Mina. Kematian memaksa pihak berkuasa memusnahkan jambatan lama dan menggantikan ia dengan jambatan pelbagai tingkat dengan laluan sehala untuk memastikan kelicinan perjalanan jemaah haji. 

Arab Saudi turut melancarkan projek baru bernilai AS$10.6 bilion (RM32.5 bilion) untuk perluasan Masjid Haram untuk menambah kapasiti kepada dua juta jemaah. 

Pelaburan termasuk kereta api menghubungkan kedua-dua bandar raya berkenaan. 
Ibadat haji tahun ini berkebetulan dengan bantahan demokrasi yang melanda beberapa negara di rantau itu dan setakat ini berjaya menumbangkan pemerintah di Tunisia, Mesir dan Libya. – AFP 

No comments:

Post a Comment