Friday, November 4, 2011

Bekas ADUN Teratai didenda RM350,000



SHAH ALAM 3 Nov. – Genap dua tahun didakwa atas tujuh tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM70,000, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor kawasan Teratai, Yap Soo Sun hari ini disabitkan bersalah dan dihukum penjara dua tahun serta denda RM350,000.
Turut mengalami nasib yang sama ialah bekas pembantu khas ADUN terbabit, Mohd. Firdaus Abu Zarin.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh dibenarkan oleh Hakim Mat Ghani Abdullah untuk menggantung pelaksanaan hukuman tersebut dengan syarat wang jaminan yang dikenakan sebelum ini ditambah jumlahnya.
Jumlah ikat jamin baharu adalah RM50,000 bagi Soo Sun yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM25,000 manakala jumlah ikat jamin RM8,000 bagi Mohd. Firdaus dinaikkan kepada RM20,000.
Hakim memberi tempoh sehingga tengah hari esok untuk kedua-dua tertuduh mengemukakan baki wang jaminan itu selepas mendapati waktu untuk membuat pembayaran hampir tamat pada petang ini.
Mahkamah mensabitkan kedua-dua tertuduh dengan kesalahan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes tersebut.
Seramai 28 saksi pendakwaan dan 20 saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sinti manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Afifuddin Afifi dan dibantu oleh Mohd. Rafik Rahem.
Pada 3 November 2009, Soo Sun, 45, didakwa menggunakan dokumen permohonan pengeluaran peruntukan ADUN yang mengandungi butiran palsu bagi mendapatkan peruntukan sebanyak RM70,000 untuk tujuh program yang tidak dijalankan.
Program tersebut melibatkan Program Mesra Rakyat Sambutan Hari Thaipusam di Taman Putra, Taman Pandan Perdana, Taman Bukit Segar Cheras Hartamas dan Taman Bukit Teratai serta Program Mesra Rakyat Sambutan Tahun Baru Cina di Taman Bukit Cheras Hartamas, Taman Putra dan Taman Bukit Teratai
Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Daerah Hulu Langat pada 10 Mac 2008.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bagi setiap pertuduhan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.
Mohd. Firdaus, 43, pula didakwa mengikut Seksyen 11(c) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 20(1)(c) akta tersebut bagi kesalahan bersubahat melakukan semua pertuduhan yang dihadapi oleh bekas ketuanya itu.
Ketika mengemukakan rayuan bagi mengurangkan hukuman, Afifuddin memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan atau dikenakan bon berkelakuan baik memandangkan ini kesalahan pertama, penanggung tunggal keluarga dan pernah berjasa kepada masyarakat.
Sementara itu, Muhammad berhujah, walaupun tertuduh-tertuduh tidak menerima sebarang wang namun kesalahan yang dilakukan masih tergolong di bawah Akta Pencegahan Rasuah.
Beliau turut menyatakan, sebagai individu-individu yang berpendidikan tinggi dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat, tertuduh terutamanya Soo Sun perlu menunjukkan teladan yang baik.
Selepas meneliti rayuan dan hujah yang dikemukakan, hakim tersebut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM50,000 bagi setiap pertuduhan.
Ekoran kesalahan yang dilakukan membabitkan transaksi sama, hukuman pemenjaraan tersebut diperintahkan berjalan secara serentak.

No comments:

Post a Comment