Friday, November 4, 2011

Permohonan Utusan batal saman Mat Sabu, 23 Nov.



KUALA LUMPUR 3 Nov. - Saman fitnah yang difailkan oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu terhadap akhbar Utusan Malaysia berhubung penyiaran artikel berkaitan isu komunis Bukit Kepong disifatkan sebagai mengaibkan, remeh, menyusahkan selain suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
Perkara tersebut terkandung dalam permohonan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan penerbit akhbar tersebut, Utusan Melayu (M) Bhd., untuk membatalkan saman dan pernyataan tuntutan Mohamad terhadap mereka.
Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Aziz dan syarikat akhbar itu, memberitahu pemberita bahawa Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar permohonan mereka pada 23 November ini.
Menurut Mohd. Hafarizam, tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk John Louis O'hara ketika pengurusan kes tersebut di kamar beliau hari ini.
Mohamad selaku plaintif memfailkan tindakan tersebut pada 14 September lalu dengan menamakan Aziz dan penerbit akhbar itu masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendakwa, pihak defendan dengan niat jahat telah menerbitkan satu artikel pada 27 Ogos lalu dan dua bahan terbitan pada keesokan harinya yang berbaur fitnah.
Penerbitan ketiga-tiga artikel terbabit adalah berhubung isu serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Johor.
Mohamad mendakwa penyiaran bahan-bahan tersebut telah secara tidak langsung menggambarkan bahawa beliau penyokong pengganas komunis, telah terkeluar daripada ajaran Islam kerana menyokong komunis dan mengiktiraf Muhammad Indera sebagai pengganas komunis.

No comments:

Post a Comment