Friday, November 4, 2011

Hutang Alwafeer Air RM58.5j



KUALA LUMPUR 3 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Alwafeer Air (Alwafeer) masih mempunyai tunggakan sewa kepada Penerbangan Malaysia Bhd., (PMB) berjumlah AS$19.5 juta atau RM58.5 juta sehingga 31 Ogos lalu.
Kata Perdana Menteri, PMB dan Malaysia Airlines System Bhd., (MAS) telah pun menghantar notis tuntutan kepada Alwafeer dan kini dalam proses menamatkan kontrak pajakan tersebut.
''Tarikh terakhir Alwafeer membuat pembayaran sewa bagi ketiga-tiga pesawat yang dipajak adalah pada 11 November 2010.
''Bagaimanapun, ketiga-tiga pesawat tersebut kini berada dalam simpanan PMB," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Choo Keong antara lain meminta Najib menjelaskan tarikh akhir sewaan yang akan dibayar oleh Alwafeer bagi setiap pesawat yang disewa dan jumlah bayaran sewa yang tertunggak oleh syarikat penerbangan itu kepada PMB dan MAS.
Choo Keong juga mahukan penjelasan apakah usaha yang diambil oleh PMB dan MAS sebelum memasuki rundingan untuk pajakan tiga buah jet kepada Alwafeer dan adakah kesemua tiga perjanjian pajakan itu dilaksanakan serta-merta.
Menurut Najib, PMB dan MAS telah melaksanakan kajian terperinci merangkumi aspek perundangan dan pelan perniagaan sebelum tiga buah pesawat miliknya dipajak kepada Alwafeer.
Kata beliau, kajian yang dilaksanakan di peringkat dalaman syarikat itu memberi peluang kepada MAS dan PMB meraih pendapatan melalui pajakan tiga buah pesawat yang merupakan lebihan daripada keperluan sebenar MAS.
''Selain itu, MAS mendapat perolehan sampingan dalam bentuk perkhidmatan kejuruteraan yang ditawarkan serta dapat memaksimumkan pengunaan alat ganti dan kakitangannya.
''MAS dan PMB juga telah menerima sejumlah RM79.35 juta dalam bentuk tunai daripada Alwafeer bagi pajakan tersebut," katanya.
Najib menjelaskan, perjanjian pajakan bagi tiga buah pesawat itu telah ditandatangani masing-masing pada 16 Ogos, 20 Oktober dan 2 November 2009 manakala penyerahan pesawat kepada Alwafeer dibuat pada 18 Ogos, 21 Oktober dan 2 November tahun sama.
''Ketiga-tiga perjanjian tersebut akan tamat pada ulang tahun keenam perjanjian iaitu pada 2015," katanya.

No comments:

Post a Comment