Tuesday, February 21, 2012

3 pemberontak maut, 3 renjer cedera di selatan Thai

BANGKOK - Tiga pemberontak maut dan tiga renjer cedera dalam pertempuran selama 30 minit di daerah Penarek, Pattani hari ini.

Ketua Polis Daerah Penarek Pol, Kol Manit Yimsai berkata, tujuh pemberontak menyerang sekumpulan renjer semasa anggota penguat kuasa itu menyediakan tempat pemeriksaan di Jalan Penarek-Saiburi di Kampung Naprau, Penarek pada 11 pagi.

Pemberontak yang terbunuh dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai Cek Roslan Cek Umar, 27, manakala identiti dua lagi, kedua-duanya dipercayai berusia 25 tahun, masih belum diketahui. Pihak berkuasa menemui dua laras M-16 dekat mayat ketiga-tiga pemberontak itu.

"Kami telah dimaklumkan oleh laporan risikan bahawa mungkin akan berlaku serangan pemerontak terhadap ketua kampung di kawasan itu. Renjer berkenaan sudah membuat persediaan rapi untuk menghadapi keadaan itu dan berjaya membunuh tiga pemberontak," katanya.

Beliau berkata, empat lagi pemberontak sempat meloloskan diri dan pihak berkuasa sedang memburu mereka.

Kira-kira 5,000 orang terbunuh sejak anggota kumpulan pemisah menyambung semula perjuangan mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala, lapan tahun lepas. - Bernama


3 pemberontak maut, 3 renjer cedera di selatan Thai - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment