SHAH ALAM - Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) yang menjadikan Islam, Melayu dan Institusi Raja (IMR) sebagai teras perjuangannya akan mendedahkan satu rakaman video mengenai usaha memurtadkan orang Islam di Selangor.

Presidennya, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, rakaman video khasitu merupakan pengakuan sepasang suami isteri yang pernah dimurtadkan dan kini telah kembali kepada Islam.

"Kita ada satu video khas mengenai mereka yang telah dibaptis iaitu rakaman daripada sepasang suami isteri yang dimurtadkan.

"Unit Selamatkan Akidah juga membantu usaha menyelamatkan akidah mereka," katabeliau pada sidang media selepas pelancaran Jati di Shah Alam Convention Center (SACC) di sini, hari ini.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor ini pernah beberapa kali menekankan isu murtad khususnya yang wujud di negeri itu.

Perkara itu pernah dibangkitkan oleh Hasan ketika berucap pad aHimpunan Sejuta Umat (Himpun) pada Oktober lalu tanpa menyatakan angka sebenar umat Islam yang telah murtad.

Kenyataan itu membawa kepada desakan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada November lalu agar Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan senarai nama-nama individu Islam yang didakwa telah murtad dan menyertai agama lain.

Asri beranggapan tindakan Hasan mendedahkan sejumlah besar umat Islam di negeri tersebut telah murtad seolah-olah mengaibkan agama kerana tidak melampirkan senarai penama yang telah memeluk agama lain.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu juga pernah mendakwa, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ada mengesan kegiatan di kalangan Kristian menggunakan alat-alat canggih seperti kitab Injil menggunakan kuasa solar untuk memurtadkan Muslim.

Dalam kenyataan bulan lalu, Hasan berkata, umat Islam yang dimurtadkan sendiri yang memberi maklumat berhubung wujudnya dakwaan mubaligh Kristian mendekati umat Islam melalui pemakaian jubah dan bersolat Zohor berjemaah sekali dengan mereka.

Beliau berkata, maklumat itu diperoleh dalam sesi pendengaran bawah Unit Selamatkan Akidah yang ditubuhnya sewaktu masih bertugas sebagai exco hal ehwal Islam.

Unit itu kini diuruskannya walaupun selepas dipecat dari jawatan itu.

Pas telah Hasan pada awal bulan lalu.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis pelancaran badan itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, usaha memperjuangkan bangsa dan negara merupakan satu jihad dan sebagai rakyat, menjadi kewajipan untuk mempertahankannya.

"Melayu dan raja tidak dapat dipisahkan. Jika kuasa raja ditarik, maka Melayu akan hilang di negara ini.

"Ada orang cakap, bila berkata mengenai Melayu, kita ialah seorang nasionalis... kita pertahankan bangsa kita, bukan taksub, dan wajib bagi kita untuk mempertahankan negara ini kerana ia memang milik orang Melayu," katanya.

Selain itu, sambil menahan sebak, Harussani berkata, "kedaulatan agama, bangsa dan raja perlu dikembalikan di negara kita sendiri agar tidak dihina dan pijak. Jangan sampai kita dipijak di negara sendiri," katanya.

Sehubungan itu, katanya, menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam untuk berjihad bagi mempertahankan agama ALLAH dan negara daripada sebarang serangan, ejekan atau hinaan.

Antara yang hadir ialah Pengasas Waris Malaya, Senator Ezam Mohd Nor.