PUTRAJAYA - Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak terlalu mempercayai e-mel berantai yang mendakwa satu-satu produk itu tidak halal kerana dipercayai mengandungi unsur babi dan bahan haram.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, sebaiknya jika menerima e-mel berkenaan, individu itu perlu terlebih dahulu merujuk kepada Jakim untuk menentukan kesahihannya.

Ini kerana katanya, ada sebahagian e-mel itu sengaja disebarkan pihak tertentu yang berniat jahat untuk menjatuhkan perniagaan orang lain terutama pesaing.“Kemungkinan begini boleh berlaku memandangkan senario persaingan dunia perniagaan sekarang,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam hubungan ini, Jakim mempunyai Portal Halal Malaysia - www.halal.gov.my yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan pensijilan halal Malaysia.

Portal Halal Malaysia yang dilancarkan pada 2007 bertindak sebagai pusat sehenti dengan dilengkapi ruangan info halal, direktori halal, kemudahan aduan dan capaian ke atas sistem permohonan sijil halal.

Contohnya, di bawah ruangan Direktori Halal, orang ramai boleh menye­mak maklumat yang dikeluarkan sama ada untuk produk gunaan, premis makanan atau pusat sembelih.

Kemudahan carian halal adalah berdasarkan kod bar, diskripsi produk dan nama syarikat yang telah diberikan sijil halal.Pun begitu, budaya merujuk sumber di Internet terutama berkaitan maklumat seumpama ini di kalangan masyarakat masih rendah.

Menurut Othman, Jakim tidak pernah membuat pengesahan terhadap sesuatu produk itu haram dimakan atau digunakan berdasarkan spekulasi, tetapi membuat­ kajian secara terperinci terlebih dahulu sebalum diumumkan keputusannya.

Othman turut mengulas mengenai permasalahan pengguna berhubung isu penggunaan beberapa kod nombor E yang didakwa sebagai tanda haram.Beliau menjelaskan, tidak semua nombor E yang digunakan untuk membuat sesuatu produk makanan berasaskan daripada sumber yang haram kerana bahan-bahan aditif ini boleh bersumberkan tumbuhan, sintetik, mikrob, semulajadi, kimia dan haiwan.

“Pengguna mesti peka mengenai jenis aditif makanan dan tahap kandungan yang dibenarkan untuk digunakan dalam sesuatu produk makanan. Pihak industri makanan dan barang gunaan bertanggungjawab untuk mengenal pasti status sumber aditif makanan yang digunakan supaya tidak akan menimbulkan keraguan kepada pengguna Islam.

“Manakala bahagian Hab Halal akan memastikan syarikat yang memohon sijil halal wajib mengisytiharkan kesemua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan berserta dokumen yang kukuh seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, sekiranya produk tersebut merupakan produk tempatan dan mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia, maka ia boleh digunakan tanpa waswas tetapi sekiranya produk tersebut bukan produk tempatan serta tidak mendapat sijil pengesahan halal Malaysia walaupun menggunakan e-kod yang sama, terpulang kepada pengguna untuk menilainya.

Katanya, Jakim tidak akan terlepas pandang kerana dalam proses pensijilan halal, pemohon perlu mengisytiharkan kesemua bahan ramuan digunakan dan akan melalui proses verifikasi dokumen dan seterusnya pengauditan di lapangan.

“Buat masa ini, Jakim mengiktiraf 56 badan Islam daripada 23 negara yang mengeluarkan sijil halal. Oleh itu Jakim hanya membenarkan logo halal Malaysia atau logo diiktiraf sahaja dibenarkan dijual di pasaran Malaysia.

“Jakim juga menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan logo halal bersama agensi seperti Jain, KPDNKK, Kementerian Kesihatan, JPV, Kastam dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan tiada penipuan bahan ramuan dan logo halal. Bahkan Jakim membuat pemantauan logo halal melalui lama sosial facebook, email dan SMS palsu,” katanya.

eliau berkata, apa juga produk sama ada makanan dan sebagainya apabila sudah disahkan atau dicop logo halal Malaysia maka ia adalah suci dan halal serta tidak ada keraguan lagi.